Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Program khas Maulidur Rasul di TV1 mulai Isnin

15 Oct 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Sempena Maulidur Rasul yang bakal diraikan, Selasa ini, TV1 menyajikan pelbagai program khas mulai Isnin hingga Khamis ini.

Program yang memaparkan nilai murni, junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu memberi peluang kepada umat Islam menzahirkan kecintaan kepada Baginda.

Bagi menghayati sirah dan sunnah Baginda, RTM menyiarkan tiga program terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula dengan siaran langsung Citra Cinta Rasul, mulai jam 9 malam, Isnin ini.

Program bual bicara itu menampilkan Ustaz Nabil Ahmad dan Terrence Dass sebagai moderator. Turut serta, hos bersama, Heliza Helmi dan artis undangan iaitu Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, kumpulan nasyid UNIC dan Faizal Tahir.

Ahli panel yang terbabit pula adalah Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr Norhafizah Musa dan pendakwah, Dr Ann Wan Seng.

Mereka akan membincangkan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang membawa kepada penubuhan pelbagai agensi berkaitan bagi memelihara kepentingan dan kebajikan umat Islam, selain memastikan kesinambungan peradaban Islam di Malaysia.

Selain itu, Selasa ini, dokumentari khas bertajuk 'Inspirasi Peribadi Muhammad' akan menemui penonton pada jam 11 pagi di saluran sama.

Dokumentari ini membawa perkongsian kisah petugas media dan pendakwah yang juga petugas barisan hadapan dalam menunaikan amanah serta usaha menyampaikan maklumat berkaitan COVID-19.

Program itu bakal menampilkan kisah seorang pengamal media daripada Bahagian Penyiaran JAKIM yang bertugas dan disahkan positif COVID-19.

Antara babak dalam Panggung Khas RTM berjudul Lafaz Terindah.
Antara babak dalam Panggung Khas RTM berjudul Lafaz Terindah.

Turut dipaparkan kisah seorang pendakwah JAKIM yang berdepan situasi sama, selain peristiwa menyayat hati jurukamera RTM yang meninggal dunia dalam melaksanakan tugasan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Pada hari sama, Panggung Khas RTM berjudul 'Lafaz Terindah' bakal menemui penonton pada jam 11.30 pagi. Cerita berkisar watak utama Angie yang beragama Kristian, mula mempelajari Islam.

Hatinya terbuka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam setelah melihat Ustaz Razif mengajar anak muridnya.

Perkara itu disedari rakan sekerjanya, Azman. Dia terdetik untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar mengenai agama Islam sehingga Angie diberi hidayah memeluk Islam atas bantuan lelaki itu.

Akhirnya Angie berkahwin dengan Azman setelah isteri Azman, Suzanna mengizinkannya. Drama ini menyaksikan gabungan mantap tiga pelakon utama Zahiril Adzim, Nadiya Nisaa dan Daniella Sya.

Sambutan Maulidur Rasul diimarahkan dengan tayangan Forum Perdana Ehwal Islam Khas pada jam 9 malam, Khamis ini dengan perkongsian tajuk 'Satukan Cinta' yang mengupas kepentingan dalam menanam rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

Bersama moderator Ustaz Zakaria Othman dan hos bersama Ustaz Rizal Ramli, penonton dapat menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebar luas dan mempertahankan agama Islam.

Ahli panel terbabit adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ahmad Idris Ahmad dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM0, Prof Datuk Dr Syamrahayu Ab Aziz.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV1, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.