BERITA ABPBH

'Pesanan terakhir jaga mama, teruskan legasi jual nasi'

[email protected]

KOTA BHARU: "Arwah ayah pesan kami adik-beradik jaga mama dan teruskan legasi perniagaan jual nasi yang diusahakan," demikian kata anak Allahyarham Bob Lokman, Omar Hakim Mohd Hakim, 28.

Omar Hakim yang juga anak kedua pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, arwah Bob, 58, yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Demit, Kubang Kerian, akibat komplikasi jantung, jam 3 petang ini.

Katanya, selepas arwah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2020, beliau mengambil keputusan pulang ke kampung halaman untuk berada dekat dengan datuknya, Lokman Ahmad, 80-an yang sakit tua.

"Arwah dan mama meneruskan kelangsungan hidup dengan mengusahakan perniagaan menjual makanan seperti nasi maqluba, bubur daging dan serunding. Dalam masa sama, turut mengambil tempahan.

"Arwah berpesan kepada mama dan anak-anak agar meneruskan perniagaan menjual makanan selepas ketiadaannya disebabkan mama mahir memasak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Demit, Kubang Kerian, di sini, petang ini.

Terdahulu, media melaporkan Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian akibat komplikasi jantung, petang ini.

Sebelum ini, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut, namun akibat kekangan kewangan dialami, Bob hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Anak kedua, Omar Hakim tertidur akibat kepenatan sepanjang malam menjaga arwah Bob yang mengalami sesak nafas, sejak semalam. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Anak kedua, Omar Hakim tertidur akibat kepenatan sepanjang malam menjaga arwah Bob yang mengalami sesak nafas, sejak semalam. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama meninggalkan seorang balu, Relawati Daud, 42, dan tujuh cahaya mata.

Mengulas lanjut, Omar Hakim berkata, kesihatan arwah semakin merosot sejak seminggu lalu, namun beliau enggan mendapatkan rawatan di hospital walaupun sudah dipujuk.

"Bagaimanapun, waktu Maghrib semalam, arwah mengalami sesak nafas dan keadaannya berterusan sehingga jam 11 pagi ini. Saya dan ibu, Relawati Daud terpaksa bersengkang mata menjaganya.

"Disebabkan terlalu kepenatan, saya terlelap dan dikejutkan oleh mama kira-kira jam 3 petang memberitahu arwah sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dimandi dan dikafankan, manakala solat jenazah akan diadakan di Masjid Kampung Pulau Hilir.

"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir Kubang Kerian selepas solat Isyak, malam ini," katanya.