Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Pengorbanan Mia demi anak-anak

22 Sep 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Pelakon Mia Ahmad, 34, terpaksa mengorbankan minat demi memberi tumpuan kepada keluarga selepas berhijrah ke Johor Bahru mengikut suaminya yang juga Kapten Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Izham Tarmizi Roslan.

Biarpun kini bahagia bersama suami dan anak-anak, Mia yang kini sedang hamil anak ketiga dijangka bersalin pada Januari depan berkata, sesekali terbit juga kerinduan pada bidang lakonan.

Katanya, biarpun lebih tiga tahun meninggalkan dunia lakonan, namun, masih menerima tawaran lakonan.

"Walaupun menukar nombor telefon, saya terkejut apabila masih ada syarikat produksi berminat memanggil saya berlakon. Tak sangka, nama saya masih relevan dalam industri.

"Jujurnya, saya sudah terbiasa 'shooting', perasaan untuk kembali berlakon cukup membuak-buak. Lebih lagi, melihat rakan artis berkongsi aktiviti di lokasi penggambaran.

"Namun, saya harus berkorban demi anak-anak yang masih kecil. Awalnya, saya sukar menerima kenyataan apabila tidak dapat bekerja, tetapi anak dan keluarga menjadi keutamaan apabila berumah tangga," kata Mia yang mula dikenali selepas membintangi drama Hati Perempuan di TV3.

Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi berkata, mungkin dirinya masih meneruskan kerjaya lakonan seandainya menetap di Kuala Lumpur.

Mia bahagia bersama suami dan anak-anak kini menetap di Johor Bahru sejak 2017. - Foto IG Mia Ahmad
Mia bahagia bersama suami dan anak-anak kini menetap di Johor Bahru sejak 2017. - Foto IG Mia Ahmad

Namun, katanya, dia sukar berulang-alik, tambahan pula, anak-anak masih kecil dan memerlukan perhatian apabila menetap di selatan tanah air.

"Mungkin saya boleh mempertimbangkan tawaran lakonan jika berpindah ke Kuala Lumpur. Namun, disebabkan tinggal jauh agak sukar untuk saya berulang-alik.

"Jika menerima tawaran drama episod mungkin sukar payah memandangkan tempoh penggambaran agak lama. Jadi buat masa ini, terpaksalah saya lupakan buat sementara waktu hasrat kembali berlakon.

"Tambahan pula anak-anak masih kecil, saya ingin meluangkan masa bersama anak-anak ketika berusia antara dua hingga tiga tahun.

"Selepas usia mencecah empat atau lima tahun barulah saya akan mempertimbangkan semula tawaran lakonan," katanya yang menyertai Prof Muhaya Circle (PMC) 2022 Zero Stress Living di Putrajaya.

Mia berkata, pandangan dan matlamat dalam kehidupan mula berubah sejak menyertai PMC

Sebelum ini, katanya, dia sentiasa berusaha memperbaiki diri, tetapi sering kecundang di tengah jalan.

Bagaimanapun, katanya, dia bukan sahaja menjadi lebih istiqamah, malah berjaya mengusahakan perniagaan pakaian muslimah sejak beberapa bulan lalu.

"Prof Muhaya sentiasa menggalakkan pelajarnya berkongsi perkara yang dapat memberikan manfaat pada semua orang. Sebelum ini, saya pernah berhasrat memiliki perniagaan sendiri, tetapi tidak kesampaian.

"Tetapi, fokus mula berubah dan semakin bersemangat memulakan perniagaan. Apa yang diajarkan seakan melekat di kepala, bila terfikir untuk melakukan sesuatu menyimpang, saya akan cepat tersedar," katanya.