BERITA ABPBH

Peminat, selebriti beri kata semangat

[email protected]

KUALA LUMPUR: Perceraian Noh Salleh dan Mizz Nina yang diumumkan melalui entri Instagram (IG), malam tadi, terus menjadi topik hangat laman sembang hari ini.

Semakan di akaun IG Mizz Nina mendapati lebih 300,000 tanda suka direkodkan dan hampir 14,000 komen dilayangkan pengikut usahawan dan aktivis kemanusiaan itu, sejak entri mengesahkan dirinya dan Noh, berpisah, dimuat naik kira-kira jam 9 malam.

Mizz Nina mengambil anak angkat dikenali sebagai Baby Musa, Mac lalu. Foto IG Mizz Nina
Mizz Nina mengambil anak angkat dikenali sebagai Baby Musa, Mac lalu. Foto IG Mizz Nina

Selain peminat, artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Puan Sri Tiara Jacquelina, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Sherry Alhadad, Ummi Nazeera, Daphne Iking, Zizi Kirana dan Indah Ruhaila turut meninggalkan komen berupa kata-kata semangat kepada Mizz Nina.

Sementara itu, sebuah halaman dakwah digital Islamik, Abbasy berkongsi entri memuji ketabahan Mizz Nina di IG rasmi mereka.

Laman itu memuji Mizz Nina yang tidak pernah bercerita mengenai ujian rumah tangga sehinggalah perceraian mereka kecoh.

"Contohi Mizz Nina, langsung tidak pernah bercerita mengenai aib bekas suami dan rumah tangganya. Dia hadapi ujian rumah tangga, namun, tidak pernah sekalipun bercerita kepada umum.

"Betapa kuatnya dia berdiam dan bertahan," kata laman dakwah digital Islamik itu.

Abbasy yang mempunyai kira-kira 170,000 pengikut di IG , memberi contoh daripada Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamod mengenai sikap diam Nabi Muhammad SAW.

"Kata baginda Rasulullah, diam itu adalah akhlak. Diam itu bukan sekadar diam. Diam itu ada makna dan tujuan. Diam itu boleh jadi suatu ibadat.

"Diam itu suatu ibadat yang punya nilai tinggi dan baik, bahkan, ia bahagian daripada kesempurnaan iman. Nabi Muhammad SAW mengajar kita mengenai diam yang bukan diam kosong.

"Apabila seseorang itu bercakap, yang keluar dari apa dilafazkannya itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Begitu juga, jika menulis perkara yang tak baik atau tulisan yang mengaibkan.

"Maka siapa yang diam, dia akan terselamat," katanya.

Malam tadi, Noh, 37, dan Mizz Nina, 42, mengumumkan perceraian mereka melalui IG, masing-masing.

Kenyataan lima perenggan yang dikongsi secara serentak, mengesahkan rumah tangga dibina sejak 11 tahun lalu, akhirnya, runtuh.

Melalui catatan itu, Noh yang juga vokalis kumpulan Hujan dan bekas isterinya itu menyatakan keputusan untuk berpisah dibuat bersama, namun, butiran seperti tarikh perceraian tidak dinyatakan.

"Saya dan Nina ingin berkongsi pengumuman penting. Selepas berfikir dan membuat pertimbangan teliti, kami setuju untuk berpisah dan meneruskan hidup mengikut haluan masing-masing.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami meluangkan masa bersama selama 11 tahun yang cukup indah, penuh pasang surut dan pengembaraan," kata mereka.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat Noh dan Mizz Nina, pasangan ini dilaporkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Selangor, Rabu lalu.

Difahamkan, perceraian pasangan itu adalah di bawah kod kes 055, iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

Mengikut laporan Harian Metro, Noh dan Mizz Nina memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 14 Jun lalu.

Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Pasangan itu mengambil anak angkat dikenali sebagai Baby Musa, Mac lalu.

Dalam kenyataan kepada media pada 14 Julai lalu, Noh mendakwa tidak tahu menahu bagaimana kisah keretakan rumah tangga bersama Mizz Nina, boleh timbul.