Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Pelajaran nombor satu

24 Nov 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Selama tujuh minggu bersiaran enam peserta yang berentap berjaya membuktikan bakat dan keupayaan walaupun bimbingan amat terhad hingga mara ke peringkat akhir program realiti kanak-kanak, Idola Kecil Di Rumah, Ahad ini.

Mereka adalah Adaputra Iskandar Danial Asdahrizam atau Ada, 11; Nur Zulaikha Mohamad Riduan (Ikha, 12); NurAdyena Hanim Abdul Hamid (Dyna, 11); Razfazreyza Fenge Mat Rafengi (Reyza, 12); Nur Marsha Auni Zahira (Asha, 12) dan Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri (Qyen, 11).

Juri jemputan, Datuk Syafinaz Selamat berkata, dia kagum melihat kesungguhan enam peserta yang layak ke peringkat akhir.

"Program Idola Kecil Dari Rumah tidak sama seperti terdahulu memandangkan diadakan secara virtual dari rumah. Jadi, bukan mudah melakukan rakaman sendiri dari rumah.

"Saya mengajar, jadi saya faham bagaimana sukar membimbing anak-anak kecil menerusi talian. Saya memuji peserta boleh memberikan persembahan yang terbaik dalam kekangan dihadapi.

"Ada antara peserta boleh menyanyi dan membawa 'tune' dengan baik. Ia dapat dilakukan dengan membuat rakaman sendiri dari rumah dan tiada guru mengajar," katanya kepada BH Online.

Syafinaz berkata, ia amat berbeza dengan program terdahulu di mana peserta berkampung di sebuah lokasi dan ada guru memberi tunjuk ajar, setiap hari.

"Bagi saya, apa yang dilakukan sudah terbaik. Saya percaya sekiranya anak-anak ini diberikan bimbingan betul, pastinya memberikan persembahan lebih baik," katanya.

Syafinaz kagum kesungguhan enam peserta yang layak ke peringkat akhir apabila melakukan persembahan dengan baik dari rumah. - Foto IG Syafinaz Selamat
Syafinaz kagum kesungguhan enam peserta yang layak ke peringkat akhir apabila melakukan persembahan dengan baik dari rumah. - Foto IG Syafinaz Selamat

Dalam masa sama, Syafinaz menasihatkan agar anak-anak tidak mengenepikan pembelajaran di sekolah walaupun meneruskan meminati bidang muzik.

Kerana bagi guru vokal ini, otak anak-anak perlu terus berkembang agar mudah menyerap ilmu berkaitan muzik.

"Mahu menyanyi boleh, tetapi pelajaran nombor satu. Ada yang menganggap pelajaran tidak penting jika mahu menyertai bidang muzik.

"Salah tanggapan ini kerana otak perlu berkembang. Jadi, pergi sekolah dan belajar kerana apa yang dipelajari pasti berguna suatu hari nanti. Bagi mereka meminati bidang nyanyian pergilah ke kelas muzik.

"Anak yang mengikuti kelas lebih mudah berkembang sekiranya mengetahui latar belakang muzik. Jika mahu menjadi penyanyi atau pemuzik, mereka perlu memahami bahasa muzik," katanya.

Penyanyi bersuara soprano itu berkata, jangan kedekut mengeluarkan belanja dari segi wang dan masa untuk mendapat ilmu. Muzik memerlukan wang dan masa.

"Kalau tidak mahu meluangkan masa untuk berlatih, anda tidak akan berjaya. Jadi, kena kerja kuat untuk menjadi penyanyi.

"Dalam masa sama, mereka yang berminat berkecimpung dalam bidang muzik memerlukan sokongan padu ibu bapa," katanya.

Finalis program Idola Kecil Di Rumah, Qyen (kiri), Reyza dan Ikha.
Finalis program Idola Kecil Di Rumah, Qyen (kiri), Reyza dan Ikha.

Sementara itu, Pengurus Projek Idola Kecil Di Rumah, Muhamad Sufian Che Isa berkata, menghasilkan program dari rumah ini memberi cabaran dari segi komunikasi, namun, dipermudahkan dengan bantuan ibu bapa.

"Kali ini semuanya dilakukan secara virtual, jadi peserta menyanyi dari rumah. Jika nak diikutkan cabaran dilalui bukan sedikit. Sememangnya, penonton melihat seperti biasa, tetapi bagi pihak produksi, agak mencabar membabitkan anak-anak.

"Tambahan, anak-anak ini belum divaksinasi, jadi tidak boleh datang studio dan kami tiada 'direct contact' dengan mereka. Kami berhubung menerusi talian dan ibu bapa.

"Saya berterima kasih kepada ibu bapa peserta. Mereka banyak membantu dan menyokong apa yang dilakukan. Contohnya, jika mahu beri barang kepada peserta, semuanya menerusi ibu bapa.

"Jadi, program realiti kanak-kanak ini dianggap berjaya disebabkan peranan ibu bapa dalam menjayakan keseluruhannya. Daripada komunikasi dan menjayakan rakaman, semuanya peranan mereka," katanya.

Dalam masa sama, Sufian turut memuji komitmen diberikan setiap peserta.

Sufian berharap peserta boleh memberikan persembahan terbaik untuk episod terakhir, namun, perlu menitik beratkan pembelajaran di sekolah. - Foto Ihsan TV3
Sufian berharap peserta boleh memberikan persembahan terbaik untuk episod terakhir, namun, perlu menitik beratkan pembelajaran di sekolah. - Foto Ihsan TV3

Katanya, peserta memberikan persembahan sangat baik meskipun penganjuran agak mengehadkan sesi bimbingan dan latihan.

"Walaupun menyanyi dari rumah, peserta menyanyi seperti dalam studio. Alhamdulillah, menerusi bimbingan diberikan, peserta berjaya memberikan persembahan terbaik.

"Dan apa yang penonton lihat adalah bakat tulen daripada peserta kerana anjuran tahun ini agak terhad untuk memberikan bimbingan vokal. Jadi, persembahan diberikan dari usaha dan kreativiti mereka sendiri.

"Apabila melihat peserta membuat persembahan tanpa bimbingan yang banyak, ini membuktikan mereka mempunyai bakat besar. Cuma, kurang bernasib baik kerana bimbingan agak terhad.

"Namun, apa yang pasti peserta boleh jadi lebih baik apabila digilap," katanya.

Dengan itu, Sufian berharap, barisan peserta boleh memberikan persembahan terbaik untuk episod terakhir. Namun, dalam masa sama perlu menitik beratkan pembelajaran di sekolah.

"Ada antara peserta mula bersekolah disebabkan sekolah sudah dibuka. Jadi, saya harap mereka dapat membahagikan masa dengan baik. Bukan sahaja fokus pada peringkat akhir, malah aktiviti pembelajaran di sekolah," katanya.

Terdahulu, program Idola Kecil Di Rumah dikendalikan oleh pengacara Sissy Imann dirakam terlebih dahulu demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Bagi memberi semangat bersaing di kalangan peserta, hadiah mingguan berupa wang tunai RM500 tunai diberikan kepada peserta meraih gelaran Idola Kecil Terbaik.