BERITA ABPBH

Panggilan sayang hanya gurauan - Iman Troye

[email protected]

SHAH ALAM: Penyanyi Iman Troye, 20, menepis spekulasi mendakwa sedang menjalinkan hubungan dengan seorang pempengaruh media sosial hanya kerana muncul dalam siaran langsung menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Tegas Iman, mereka bukan pasangan kekasih seperti didakwa dan hubungan tidak lebih sekadar kawan.

Secara kebetulan, kawan saya adalah rakannya. Dari situ, kami mula berkenalan.

"Kami dalam satu kumpulan, jadi hubungan agak rapat tetapi bukan tahap bercinta.

"Nak kata sedang mengenali hati budi tidak juga. Sekarang, saya dalam peringkat merawat hati yang luka.

"Jadi, soal cinta saya letak ke tepi dahulu. Jadi, tumpuan saya sekarang hanya untuk kerjaya nyanyian," katanya kepada BH Online.

Iman nafi bercinta dengan Danial, masih merawat hati yang terluka. - Foto IG Iman Troye
Iman nafi bercinta dengan Danial, masih merawat hati yang terluka. - Foto IG Iman Troye

Menerusi siaran langsung itu, ramai mendakwa Iman dan jejaka berusia 19 tahun yang dikenali sebagai Danial itu kelihatan mesra. Malah, Danial memanggil penyanyi lagu Teman itu dengan panggilan sayang.

Mengulas perkara itu, pemilik nama lengkap Siti Nur Alyssa Sahabudin itu berkata, apa yang disaksikan hanya sekadar gurauan.

"Sejujurnya, kami tak pernah berbual dalam mesej peribadi. Apa yang dilihat ketika siaran langsung hanya gurauan semata-mata.

"Saya tak sangka ia boleh mencetuskan spekulasi. Danial agak risau bila perkara ini hangat diperkatakan," ujarnya.

Terdahulu, Iman ditemui selepas Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-37 (SFMM 37) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.

Menerusi acara SFMM 37, Iman mempertaruhkan lagu Nang hasil ciptaan Ezra Kong dan A Ramlee.

Ternyata, rezeki berpihak kepadanya apabila lagu Nang berjaya melangkah ke malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 pada 12 Februari depan.