BERITA ABPBH

Noki demam denggi, platelet darah turun

[email protected]

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan K-Clique, Noki, 27, dimasukkan ke sebuah hospital di Shah Alam, di sini, akibat demam denggi.

Mengumumkan berita duka itu menerusi hantaran dalam akaun Instagram (IG), hari ini, Noki mengharapkan peminat mendoakannya segera sembuh.

"Assalamulaikum, keadaan saya sekarang denggi tahap berbahaya. Doakan kesihatan saya ya.

"Semoga Allah lindungi kita semua dari segala penyakit," tulisnya.

Menerusi perkongsian itu, Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, 27, memuat naik sekeping foto sedang terbaring atas katil.

Sementara itu, pengurus Noki, Farahrizan Razak memaklumkan, penyanyi yang popular dengan lagu Gila itu mengadu tidak sihat sejak minggu lalu ketika menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Oh My Hantaran.

"Noki mengadu tidak sihat, minggu lalu. Apabila rasa seperti nak demam, Noki cuak dan terus membuat ujian saringan COVID-19.

"Namun, hasil ujian mendapati negatif. Apabila penggambaran disambung semula di Sungai Besar, demam Noki masih belum kebah," katanya.

Noki mengadu tidak sihat, malah drama Oh My Hantaran terpaksa dihentikan apabila keadaannya lemah dan pucat. - Foto IG Noki
Noki mengadu tidak sihat, malah drama Oh My Hantaran terpaksa dihentikan apabila keadaannya lemah dan pucat. - Foto IG Noki

Farahrizan berkata, melihat keadaannya lemah dan pucat, penggambaran terpaksa dihentikan dan pengarah menyuruh Noki pergi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan.

"Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan Noki mengidap demam denggi dan bacaan platelet darah rendah.

"Justeru, Noki diarahkan ke hospital untuk segera mendapatkan rawatan," katanya kepada BH Online.

Berkongsi keadaan terkini penyanyi yang berasal dari Sabah itu, Farahrizan berkata, kesihatan Noki agak membimbangkan.

"Selain bacaan platelet darah menurun, tekanan darah juga rendah dan masih mengalami demam berterusan. Keadaannya boleh dikatakan agak berbahaya.

"Biarlah Noki berehat dan saya akan sentiasa memantau perkembangan terkini menerusi pembantu peribadi," katanya.