Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Nelydia mula hidup baharu

06 Aug 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Tiada kata mampu menggambarkan keindahan ibadat haji yang disempurnakan pelakon, Nelydia Senrose bersama suami, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, bulan lalu.

Nelydia, 28, yang sebelum ini sudah empat kali mengerjakan umrah, bersyukur dijemput Tuhan untuk menunaikan ibadat haji, biarpun pada mulanya tidak pasti sama ada berpeluang melakukannya.

"Segala-galanya dipermudahkan. Pengalaman, layanan dan semua yang lain, baik-baik sahaja. Saya berdoa agar mereka yang berniat menunaikan haji, dipermudahkan urusan itu.

"Sebaik selesai mengerjakan haji, saya rasa lega. Orang selalu cakap, buat haji ini kita betul-betul berjihad ke jalan Allah. Tidak tahu apa jadi, hanya berserah.

"Makkah dan Arafah bumi barakah. Saya banyak belajar perkara baharu dan berkenalan dengan insan lain. Ketepi segala kuasa pemilikan tanpa kasta atau pangkat.

Nelydia mahu terus istiqamah sekembalinya daripada menunaikan ibadat haji, bulan lalu. Foto NSTP Aizuddin Saad
Nelydia mahu terus istiqamah sekembalinya daripada menunaikan ibadat haji, bulan lalu. Foto NSTP Aizuddin Saad

"Niat pergi ke sana kerana Allah... Berserah," katanya kepada BH Online.

Ditemui pada majlis kesyukuran sekembalinya daripada menunaikan ibadat haji dan sambutan ulang tahun kelahiran ke-28 di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini, Nelydia menganggap pengalaman di Tanah Suci mengundang hikmah tersendiri.

"Hingga saya beritahu suami, kalau diizinkan, hendak pergi tunaikan haji setiap tahun," katanya.

Bergelar hajah, Nelydia menetapkan pendirian untuk kekal istiqamah dengan berhijab.

"Soal bertudung dan menutup aurat memang sentiasa ditunggu dan didoakan orang di luar termasuk peminat. Saya harap diberi keteguhan hati untuk istiqamah dengan perjalanan baharu ini.

"Barangkali, selama ini, doa meminta diri kekal istiqamah kepada Tuhan, tidak berjawab. Namun, doa itu mungkin terjawab daripada mereka yang tidak putus-putus mengharapkan diri ini berubah menjadi lebih baik.

"Saya mahu menjadi hamba yang lebih baik daripada sebelumnya. Saya berubah (bertudung) kerana diri sendiri, tanpa ada tekanan sesiapa.

"Saya mahu menjadi hamba yang Tuhan redai. Hati saya berbisik, ini (bertudung) yang saya dambakan sekian lama," katanya.

Namun, sekembalinya ke tanah air, adik Uqasha Senrose ini sedar ujian datang dalam pelbagai bentuk.

"Dari kerendahan dan keluhuran hati, diri ini sentiasa berusaha mencari reda Allah SWT. Sejak 28 tahun lalu, saya sudah melalui macam-macam perkara.

"Merasai detik remaja hingga alam dewasa, hati ini tidak pernah menipu mengenai usaha memperbaiki diri menjadi lebih baik.

"Allah lebih tahu walaupun sekelumit hati saya cuba mencari kekosongan hati dan diri. Perkara ini sukar diterjemahkan dan apa lagi yang menanti selepas ini.

"Istiqamah itu penting... Saya minta dijaga dan dipertingkatkan iman saban hari," katanya.

Nelydia atau nama sebenar, Nik Zaris Nelydia Nik Sen memilih untuk berehat seketika sebelum kembali aktif di pentas seni.

"Saya mahu nikmati momen selepas pulang dari Tanah Suci ini dengan tenang dan membiasakan diri dengan perubahan ini," katanya yang kali terakhir membintangi drama Khilaf Asmara terbitan TV3.

Sebelum ini, Nelydia pernah membiasakan diri bertudung selepas pulang daripada mengerjakan umrah, Disember tahun lalu.

Mengulas mengenai persediaan untuk berangkat menunaikan haji pada 3 Julai lalu, Nelydia bersyukur diberi peluang selepas dua bulan menanti panggilan Allah.

"Sepanjang tempoh itu, saya kerap bertanya apa status permohonan kami untuk menunaikan haji. Kami sangat berharap dapat melakukan ibadat ini bersama," katanya.

Nelydia tambah gundah apabila mendapat tahun penerbangan terakhir ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji adalah pada 5 Julai lalu.

"Hari demi hari, sehinggalah 1 Julai lalu, masih belum ada berita baik untuk kami... Gementar jadinya. Ketika itu, macam-macam rasa. Kalau belum ada rezeki, kami kena reda," katanya.

Tanpa diduga, pada awal pagi 2 Julai lalu ketika hampir hendak melelapkan mata, Nelydia dan suami mendapat pengesahan mereka akan berangkat ke Tanah Suci apabila visa diluluskan.

"Kami terduduk dan menangis penuh kesyukuran dengan berita gembira itu. Sepantas kilat, saya dan suami sujud syukur dengan kesempatan serta rezeki terindah itu," katanya yang berdetik mengerjakan ibadat haji apabila kali pertama menunaikan umrah pada 2018.

Nelydia dan Mohd Hafez bernikah pada 6 April 2019. Foto NSTP Aizuddin Saad
Nelydia dan Mohd Hafez bernikah pada 6 April 2019. Foto NSTP Aizuddin Saad

Sebelum ini, iaitu selepas bernikah pada 6 April 2019, Nelydia berpeluang mengerjakan umrah bersama suami, Uqasha dan Raysha Rizrose.