BERITA ABPBH

Nani ajak peminat jaga perpaduan negara

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bintang filem Sepet, Sharifah Amani berharap rakyat Malaysia berdiri teguh dalam menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Sharifah Amani atau mesra disapa Nani memberi contoh iklan PETRONAS yang ditayangkan sempena sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina yang sering memaparkan keharmonian antara keluarga Melayu dan Cina tanpa prejudis.

Melalui hantaran di Instagram (IG), Sharifah Amani menganggap keharmonian antara kaum adalah kuasa paling kuat memastikan kesejahteraan negara terus terjamin.

Namun, sayangnya, kata Sharifah Amani, ada pihak kurang senang melihat keharmonian terjalin dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, Nani mengingatkan pengikut agar belajar daripada sejarah silam serta tidak mengulangi kesilapan lalu.

"Jujur saya rindu iklan perpaduan begini. Makin hari, makin kita lupa yang tidak ada apa yang boleh jadi kalau kita tiada satu sama lain.

"Ini Malaysia kita. Apa jadi pun, kita tetap jaga kita. Tolong jangan ditipu dengan sentimen ekstremis yang mahu goncang silaturahim kita.

"Ini semua permainan politik, dahulu sama sekarang pun sama," katanya.

Sharifah Amani bersama suaminya, Ahmed Faris Amir menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Sharifah Amani bersama suaminya, Ahmed Faris Amir menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Sharifah Amani menambah, tidak senang melihat rakyat berbilang bangsa di negara ini hidup aman dan harmoni, ada pihak seolah-olah mempunyai niat jahat untuk menghapuskannya.

"Antara kuasa yang paling kuat kita adalah keharmonian dan perpaduan kita. Sebab itu mereka yang berniat jahat tahu itulah yang harus dihapuskan dahulu.

"Rasa kasih sayang kita pada satu sama lain. Demi mahukan kuasa mereka sanggup ceritakan yang bukan-bukan untuk memisahkan kita semua.

"Berdiri teguh bersama-sama. Jangan biarkan mereka asingkan kita. Kita semua bangsa Malaysia. Kaya dengan kasih sayang buat semua.

"Kita harus belajar daripada sejarah kita. Kesalahan yang lepas jangan kita ulangi. Kita semua ada ibu bapa, anak anak kecil, rakan, sahabat dan keluarga. Pastikan kami akan ada untuk mereka semua," katanya.

Sharifah Amani juga berazam teguh bersama rakyat Malaysia dalam menentang isu perkauman.

"Negara ini milik kita semua. Semoga dipelihara dan sentiasa kuat bersama. Hidup anak bangsa Malaysia," luahnya.