Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

'Nama Fadlan panas gosip cinta tiga segi'

27 Sep 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Figura kacak bernama Fadlan Hazim, 29, tidak perlu diperkenalkan kepada pencinta drama tempatan. Bersilih ganti wajahnya menghiasi kaca televisyen (TV) menemani penonton pada slot tayangan petang mahupun malam.

Kini, drama lakonannya berlumba-lumba ditayangkan daripada drama Shah Alam 40000 hingga Kekasih Hati Mr Bodyguard.

Jadi, tidak hairan nama Fadlan boleh membolosi empat pencalonan awal bagi kategori utama, Pelakon TV Lelaki Popular Xiaomi dan dua kategori online iaitu Watak Antagonis Popular dan dua pencalonan menerusi Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Namanya mungkin tidak segah Budak Baru Nak Up (BBNU), namun Fadlan tetap berjaya mengekalkan momentum, malah menjadi pilihan ramai produser.

Namun, nama Fadlan menjadi bualan apabila timbul gosip mengatakan hubungannya dengan gadis berbangsa Tiong Hua, Julie Ann Kang yang terjalin sejak di bangku sekolah sudah berakhir.

Dan, nama pelakon baharu, Anna Jobling pula dikaitkan menjalinkan hubungan istimewa disebabkan mereka bergandingan menerusi drama Shah Alam 40000.

Mengulas status hubungannya dan Julie, sejauh mana kebenaran Anna menjadi orang ketiga, Fadlan berkata, dia minta maaf tidak boleh memberikan komen berunsur peribadi.

"Saya lebih selesa jika berkongsi soal kerjaya dan projek terbaharu. Segala berkaitan soal peribadi juga tidak akan dikongsikan dalam laman sosial lagi.

"Jujurnya, saya dan Julie sudah bersahabat sejak sekolah lagi, jika dihitung sudah 16 tahun lalu.

"Jadi, kami akan kekal bersahabat sampai bila-bila. Lagi pun, keluarga kami saling mengenali," katanya kepada BH Online.

Fadlan dan Julie sudah bersahabat baik sejak di bangku sekolah menengah pada 13 tahun. - Foto IG Fadlan Hazim
Fadlan dan Julie sudah bersahabat baik sejak di bangku sekolah menengah pada 13 tahun. - Foto IG Fadlan Hazim

Mengenai hubungan dengan Anna, Fadlan juga enggan mengulasnya.

"Soal ini juga saya minta maaf, saya tidak boleh menjawabnya. Cuma, apa yang boleh saya kongsi, Anna seorang pendatang baharu yang sangat serius dengan kerjaya.

"Anna tidak seperti pelakon baharu lain yang hanya ingin mengejar glamor dan keluar TV. Sebaliknya, Anna memang ingin berjaya. Dia memiliki sikap ingin tahu dan berjaya. Saya memang puji sikap Anna.

"Sehingga kini, kami masih rapat. Jujurnya, bekerjasama dengan Anna menjadi pilihan terbaik antara heroin yang pernah bergandingan dengan saya, selama ini," katanya.

Bekas anggota kumpulan VIP itu berkata, dia lega apabila kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran diberikan.

"Jujurnya, saya memang tiada sumber pendapatan apabila hampir lima bulan tidak bekerja.

"Kini, saya sedang menyiapkan drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang siarannya tergantung disebabkan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Alhamdulillah, tawaran lakonan sentiasa tidak putus sama ada watak utama atau sekadar pembantu," katanya.

Fadlan berpendapat Anna pilihan terbaik antara heroin yang pernah bergandingan dengannya. - Foto IG Anna Jobling
Fadlan berpendapat Anna pilihan terbaik antara heroin yang pernah bergandingan dengannya. - Foto IG Anna Jobling

Mengulas berjaya membolosi empat pencalonan ABPBH 34, Fadlan berkata, dia terkejut apabila mengetahui namanya menembusi empat pencalonan.

"Sebagai pelakon senior, nama saya sudah semakin jarang dicalonkan. Kali terakhir, menerusi Watak Antagonis Popular pada 2018.

"Saya anggap kerja kuat berbaloi apabila berjaya dicalonkan dalam ABPBH 34. Setiap kali menerima tawaran tidak kira projek kecil atau besar, saya berusaha melakukan sehabis baik.

"Sudah tentunya saya lega kerana kerja keras dihargai. Ini membuatkan saya ingin bekerja dengan lebih kuat dan melakukan lebih baik lagi.

"Impian, saya percaya mana-mana pelakon pasti mengharapkan kemenangan. Namun, saya tidak terburu-buru mengejar trofi, mungkin apabila nama sudah kukuh dalam bidang lakonan," katanya.

Pelakon yang menempa populariti menerusi drama Papa Ricky dan Seribu Rindu itu berkata, dia tidak melihat pencalonannya memberi cabaran apabila bersaing dengan bintang BBNU.

"Saya sudah bersaing dengan ramai selebriti termasuklah bintang artis BBNU yang datang silih berganti sejak 2010. Untuk memastikan terus relevan, saya cuba tidak berada di takuk sama dan mencuba pelbagai watak sama ada antagonis, aksi mahupun komedi.

"Nak kata berpuas hati dengan pencapaian, rasanya masih banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya mahu menjadi lebih bagus dan bersyukur kerana mampu bertahan lebih 10 tahun dalam industri," katanya.