BERITA ABPBH

Naim guna teknik irama Melayu tepat - Pensyarah

[email protected]

KUALA LUMPUR: Dendangan lagu Jampi dengan genre keroncong dibawa penyanyi, Naim Daniel dan sepupunya, Sissy Imann pada konsert minggu keenam program realiti, Famili Duo disiarkan di TV3, kelmarin adalah tepat.

Perkara itu dimaklumkan bekas pensyarah muzik dikenali sebagai Zakey Javis menerusi entri dalam laman sosial, Twitter miliknya.

Zakey berkata, nyanyian Naim pada malam konsert berkenaan jelas menggunakan teknik irama Melayu yang tepat iaitu ngandul dan cengkok.

"Sebagai salah seorang bekas pensyarah mengajar dua kelas keroncong yang Naim pernah hadiri (Malaysia Music IV dan Performing Group).

"Saya merumuskan gaya nyanyian keroncong Naim jelas penggunaan teknik ngandul dan cengkok semasa persembahannya," tulisnya.

Bekas pensyarah muzik, Zakey Javis mempertahankan Naim menerusi entri yang dimuat naik dalam laman Twitter.
Bekas pensyarah muzik, Zakey Javis mempertahankan Naim menerusi entri yang dimuat naik dalam laman Twitter.

Sementara itu, Naim yang juga juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 pada 2020 menerusi lagu Sumpah turut memberi reaksi terhadap kenyataan gurunya itu dengan mengucapkan terima kasih.

"Certified (disahkan). Terima kasih cikgu," tulis Naim ringkas.

Kelmarin, Naim bersama Sissy menerima kritikan pedas daripada juri program, Mas Idayu susulan nyanyian mereka dikatakan gagal menambat hati juri.

Lantaran itu, Sissy dilihat mengalirkan air mata atas pentas sebelum menyatakan kekecewaan dengan membatalkan perancangan untuk mengadakan majlis pelancaran album sulungnya secara besar-besaran.

Bagaimanapun, Mas menyifatkan apa yang dilakukan atas dasar tanggungjawab terhadap amanah diberikan oleh produksi, malah menjadi hasratnya melihat pasangan sepupu itu lebih berjaya.