Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Nadia Aqilah tak lagi mengejar trofi

25 Jan 2023 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Pelakon versatil, Nadia Aqilah, 37, tidak menganggap dirinya sebagai selebriti gred A biarpun membintangi pelbagai drama, telefilem, filem dan teater.

Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Aqilah Bajuri menyifatkan pembabitannya dalam projek lakonan hanyalah sebagai pencerita yang mahu menyampaikan mesej kepada penonton.

Malah, pelakon filem Eva itu tidak meletakkan sasaran memenangi anugerah dalam industri lakonan.

"Kalau dahulu tujuan saya berlakon mungkin sedikit berpaksikan untuk mengejar trofi anugerah. Namun, haluan bertukar apabila beberapa tahun bergelar pelakon.

"Saya hanya mahu berikan terbaik dalam setiap projek dijayakan. Apa reaksi penonton saya tidak boleh kawal, tetapi saya bersyukur jika ada penghargaan diberikan. Selain itu, saya tidak kisah pun.

"Sejujurnya, apabila berada pada tahap sekarang, saya sudah tidak mahu terlalu memikirkan mengenai anugerah. Saya hanya mahu berikan yang terbaik," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada Malam Gala Filem Eva, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Emil Emilda pada 2007 itu berkata, dia tidak mahu soal penghargaan terus menguasai kerjaya lakonan.

"Apabila mula tanamkan dalam minda untuk dapat sesuatu balasan atau penghargaan, di situ niat sudah salah.

"Jadi, apa yang saya buat setiap kali menjayakan sesuatu projek, saya akan mengingatkan diri, saya adalah pencerita untuk penonton.

"Saya bukan selebriti atau orang kenamaan, saya hanya pencerita dan itulah yang saya pegang sehingga hari ini. Setiap projek lakonan yang diambil memang saya tetapkan dalam minda, tidak mengejar perkara lain.

"Pada masa sama, saya berharap nilai di sebalik cerita dilakonkan sampai ke hati penonton," katanya.

Nadia bersama barisan pelakon ketika Malam Gala Filem Eva, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Nadia bersama barisan pelakon ketika Malam Gala Filem Eva, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Terdahulu, Nadia meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Dunia Hong Kong menerusi watak utama filem Eva arahan Suhaiza Aziz.

Selain itu, seorang lagi pelakon iaitu Nadia Brian meraih trofi Pelakon Pembantu Terbaik pada festival sama yang dianjurkan Oktober lalu.

Berkongsi mengenai filem Eva, Nadia berkata, dia berdepan cabaran menggalas watak Eva iaitu pesakit mental yang mempunyai tiga personaliti berbeza.

"Apa saya boleh katakan, ia tidak mudah. Pelbagai kekangan dihadapi saya dan kru produksi ketika penggambaran.

"Bagaimanapun, prinsip saya sebagai pelakon adalah sentiasa berikan yang terbaik. Selebihnya, saya serahkan kepada pengarah dan kru produksi untuk membantu.

"Jadi, apa yang saya berikan dalam filem Eva adalah 100 peratus visi yang ditetapkan pengarah sendiri. Kalau pengarah berpuas hati, maka begitulah perasaan saya," katanya.