BERITA ABPBH

Misi tembusi pentas Oscar

[email protected]

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melihat penerbitan filem usaha sama Malaysia-Korea Selatan, The Lord Musang King sejajar dengan program Road To Oscar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, projek itu dapat membawa wajah filem Malaysia di mata dunia.

"K-KOMM menggalakkan kerjasama begini dan mahu meningkatkan industri kreatif dan perfileman.

"Saya lihat filem The Lord Musang King sebagai usaha mempromosikan pelancongan dan buah-buahan eksotik tempatan seperti Musang King," katanya.

Program Road To Oscar dilancarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menggalak pembikin filem menghasilkan naskhah bermutu tinggi yang layak dipertandingkan di festival filem antarabangsa seperti Anugerah Akademi (Oscar).

Zahidi berharap kerjasama itu membuka peluang kepada produksi tempatan untuk menjalin rangkaian dengan pengkarya industri kreatif serantau.

"Filem yang kita hasilkan perlulah berkualiti dan ada sentuhan antarabangsa. Sekarang, kita bekerjasama dengan Korea Selatan. Selepas ini, mungkin kita boleh bekerjasama dengan Thailand atau Indonesia.

"Saya kagum apabila pengarah hebat dari Korea Selatan seperti Lee Moon Ho sudi bekerjasama walaupun ada perbezaan bahasa.

"K-KOMM beri sokongan padu dan berharap FINAS dapat memberi bantuan daripada segi geran atau dana untuk membiayai kos promosi," katanya.

Zahidi (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran filem The Lord Musang King di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. Foto NSTP Rohanis Shukri
Zahidi (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran filem The Lord Musang King di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. Foto NSTP Rohanis Shukri

Semalam, Zahidi melancarkan filem The Lord Musang King di Mutiara Damansara, di sini.

Filem The Lord Musang King diterbitkan Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd. Filem ini menampilkan barisan pelakon Malaysia dan Korea Selatan antaranya Yusof Bahrin, Fimie Don, Jay Iswazir, Harissa Adlynn Halim dan ramai lagi.

Filem berkisar Haikal, iaitu anak pekebun durian yang berjaya, diperdaya dan dipenjarakan.

Demi menyelamatkan Haikal, bapanya, Samad membuat perjanjian dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membebaskan anaknya.

Namun, Samad dibunuh 'taikun' Korea Selatan ketika cuba membebaskan anaknya.

Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela atas kematian bapanya itu.

Penggambaran di Malaysia bermula Khamis depan selama 21 hari.