Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Misha terpaksa tangguh hamil

13 Oct 2021 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Demi menjayakan konsert yang sekian lama diidamkan, penyanyi bervokal hebat, Misha Omar, 39, terpaksa menangguhkan hasrat untuk menimang cahaya mata kedua.

Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, berkata, keputusan dibuat untuk memastikan kesihatannya berada dalam keadaan baik, persembahan dapat dilakukan dengan lancar dan sempurna.

"Jika ikutkan perancangan, saya mahu hamil anak kedua, tahun ini. Usaha ke arah ini sudah pun dilakukan apabila saya menjalani rawatan kesuburan.

"Namun, tawaran untuk menjayakan konsert saya terima pada April lalu. Bagaimanapun, saya tidak pasti apakah konsert boleh diteruskan atau sebaliknya berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Justeru, apabila dimaklumkan konsert akan diteruskan, saya memutuskan untuk menghentikan rawatan kesuburan yang sudah dilakukan separuh jalan.

"Saya bukan risau sebab hamil, tetapi lebih kepada keadaan kesihatan. Saya tidak mahu peminat hampa apabila nyanyian saya tidak seperti yang diharapkan. Reputasi kena jaga," katanya kepada BH Online.

Misha bersama Zaiton ketika sidang media Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Bersama Bintang di Lambang Sari, IB, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Misha bersama Zaiton ketika sidang media Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Bersama Bintang di Lambang Sari, IB, semalam. - NSTP/Aziah Azmee

Penyanyi yang popular menerusi lagu Sampai Bila itu berkata, keputusan dibuat atas persetujuan suaminya, Firros Ezzwan Rosly yang disifatkan sebagai amat memahami dilema yang dihadapi isterinya.

"Sudah tentu keputusan ini dibuat atas persetujuan suami. Alhamdulillah, suami memahami dan tahu kecintaan saya terhadapnya sama besar dengan kerjaya seni.

"Suami menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Lagipun, suami tidak mahu melihat saya buat kerja berat ketika hamil," ujar Misha ketiak ditemui pada sidang media Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa dan pengarah muzik merangkap konduktor OSK, Nasran Nawi.

Pada Jun lalu, pemenang kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2003 itu menggunakan tanda pagar #menjejakkhadeja dan membuat ujian hormon Anti-Mullerian (AMH) bagi mengetahui tahap kesuburannya sebelum meneruskan rawatan sesuai sebagai usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua.

Hasil perkongsian hidup, Misha dan Firros dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa, 5. Sebelum ini, Misha mempunyai anak angkat lelaki, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia 15 tahun.

Sementara itu, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang yang bakal berlangsung pada 30 Oktober ini di Panggung Sari menyaksikan penyanyi bervokal mantap ini menyampaikan 17 lagu termasuk tribute kepada tiga penyanyi yang cukup dekat di hati iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Tiket berharga antara RM98 hingga RM118 boleh didapati di kaunter Box Office IB mulai 20 Oktober ini.