Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Maria Arshad positif COVID-19

27 Sep 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Mengalami demam berpanjangan selama hampir dua minggu, pelakon veteran, Datin Maria Arshad, 63, disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu.

Penyampai radio Suria FM yang juga menantunya, Sharifah Shahirah berkata, ibu mentuanya kini ditahan di hospital bagi menjalani rawatan dan kuarantin.

"Jika diikutkan, mak lebih suka menjalankan kuarantin di rumah disebabkan gejala dialami tidak begitu teruk. Namun, beliau ditahan di hospital disebabkan sudah tidak bermaya.

"Mak masih mengalami demam, jadi hospital mahu memantau dan mengambil darah. Pada awalnya, beliau ingat hanya mengalami demam biasa.

"Beliau ke hospital selepas menjalankan pemeriksaan sendiri, tetapi keputusannya negatif pada 21 September lalu," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Shahirah berkata, deman masih tidak berkurangan dan mengalami sakit kepala yang teruk, mabuk, muntah dan cirit-birit, jadi dibawa ke hospital pada Sabtu lalu.

"Kami terkejut apabila diberitahu doktor, mak positif COVID-19," katanya.

Terdahulu, isteri kepada pelakon Ijoy Azhari berkongsi menerusi Instagram, dia dan keluarga menjadi kontak rapat dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri walaupun keputusan ujian calitan COVID-19 dilakukan negatif.

Mengulas punca jangkitan, Shahirah berkata, dia tidak pasti memandangkan ibu mentua hanya keluar rumah untuk membeli barangan dapur sahaja.

"Setiap hari mak akan datang ke rumah untuk masak buat anak dan cucunya. Tapi, mak sangat menjaga kebersihan, selepas pulang dari mana-mana, beliau akan mandi. Berjumpa kawan pun tidak, keluar pun hanya ke pasar dan kedai untuk membeli barangan kek.

"Jadi, kami tidak pasti punca jangkitan. Kami sekeluarga curiga memandangkan anak saya ada yang baru balik dari Pulau Tioman. Tetapi, kami sudah menjalankan ujian calitan, semuanya negatif," katanya.

Sharifah Shahirah bersama suami, Ijoy Azhari dan anak-anak menjadi kontak rapat dan menjalani kuarantin kendiri di rumah. - Foto IG Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah bersama suami, Ijoy Azhari dan anak-anak menjadi kontak rapat dan menjalani kuarantin kendiri di rumah. - Foto IG Sharifah Shahirah

Bagaimanapun, Shahirah berkata, dia dan keluarga tetap menjalankan kuarantin kendiri dan melaksanakan tugasan sebagai penyampai radio dengan bersiaran dari rumah.

"Kalau ikutkan apa yang dikemaskini melalui aplikasi MySejahtera, saya dikategorikan sebagai kontak kasual dan tidak bergejala, jadi saya boleh keluar, tetapi perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP).

"Tetapi, pengurusan Suria FM tidak membenarkan saya ke pejabat dan membenarkan saya bekerja dari rumah. Selepas lima hari, saya akan membuat ujian calitan sekali lagi mengikut nasihat doktor.

"Kami sekeluarga akan mengambil makanan tambahan untuk menguatkan antibodi," katanya.

Sementara itu, berkongsi pencalonan sebagai calon awal Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Shahirah berkata, dia gembira dicalonkan meskipun tidak pernah menang.

"Nama saya sering membolosi pencalonan awal. Ada kala berjaya melepasi Top 5 dan dicalonkan dalam tiga kategori, bagaimanapun saya tidak pernah menang.

"Namun, saya tidak kisah dan sudah lali. Saya berterima kasih kepada ABPBH kerana masih mencalonkan saya, masih percaya bakat saya dari dahulu hingga sekarang.

"Walaupun sudah tua dan berumah tangga, tetapi masih lagi relevan," katanya.

Turut berbangga pencalonan rakan sepasukannya, Tyzo buat kali pertama, Shahirah berharap, Tyzo layak ke Top 5 dan memenangi kategori berkenan.