BERITA ABPBH

Margaret syahdu sambut Aidilfitri

[email protected]

KUALA LUMPUR: Menyambut Syawal selepas melafazkan dua kalimah syahadah cukup menyentuh sanubari bintang veteran, Margaret Gan, 79, dalam meneruskan kehidupan yang masih bersisa.

Tidak asing dengan budaya hidup Melayu yang sering diamalkan sejak kecil, ketibaan lebaran kali ini memberi pengertian berbeza kepada Margaret atau nama sebenar, Gane Ee Kek selepas beroleh hidayah memeluk Islam, Februari lalu.

Tanpa berselindung, Margaret mula dikenali sebagai pelakon bukan Melayu yang banyak membintangi drama terbitan RTM pada era 1980-an, mengakui bahagia dan terasa indah menghirup udara 1 Syawal sebagai muslimah.

Kehadiran anak tunggal, Mohd Taufik Gan, 36, yang terlebih dahulu memeluk Islam, berkahwin dan memiliki dua anak, sejak 14 tahun lalu, memberi kenikmatan tidak terhingga kepada Margaret dalam menyambut fajar Syawal.

"Ramadan dan Syawal kali ini cukup berbeza. Saya betul-betul rasa nikmat berpuasa dan beraya.

"Biarpun hari raya jatuh 'mengejut' pada 2 Mei, bukan 3 Mei, saya tidak panik kerana sudah membuat persiapan awal.

"Saban tahun, sebelum memeluk Islam, saya sudah biasa menyiapkan apa yang penting. Namun, orang tua macam saya apalah yang hendak disediakan sangat.

Margaret Gan bersama anak lelaki tunggalnya, menantu dan dua cucu. Foto Ihsan Margaret Gan
Margaret Gan bersama anak lelaki tunggalnya, menantu dan dua cucu. Foto Ihsan Margaret Gan

"Lainlah orang muda hendak beli itu dan ini," katanya berkongsi kemeriahan menyambut Aidilfitri sebagai mualaf kepada BH Online.

Bercerita mengenai persiapan menyambut hari raya, Margaret berkata, dia membeli barang mentah untuk sajian Aidilfitri lebih awal.

"Sekarang semua canggih dan 'order' sahaja. Rebus ketupat paling mudah. Rendang atau kuah kacang, sudah siap dijual hanya perlu dipanaskan.

"Barang mentah seperti daging dan ayam saya beli awal dan simpan dalam peti sejuk. Sebaik diumumkan esok raya, saya keluarkan barang mentah dari peti sejuk untuk masak," katanya.

Mengenai persalinan hari raya, Margaret sekadar bersederhana.

"Mereka yang seronok hendak beraya adalah anak muda. Hendak itu dan ini, semua serba baharu. Kita yang tua ini, biasa sahaja.

"Anak lelaki belikan saya persalinan serba ringkas. Saya sediakan lima hingga enam baju termasuk kebaya merah jambu dan blaus labuh untuk digayakan dengan seluar panjang.

"Kalau dahulu, blaus saya lengan pendek. Tetapi sejak menjadi saudara baharu, anak saya belikan blaus lengan panjang untuk disesuaikan dengan imej bertudung," katanya.

Tambah pelakon kelahiran Batu 6, Jalan Klang Lama, Petaling ini, baju kebaya umpama pakaian wajib yang digayakan sejak dahulu.

"Sebelum Islam, kalau beraya ada yang bertanya kenapa tidak pakai baju kebaya. Dahulu saya malas hendak pakai kebaya yang mengikut potongan badan.

"Apabila makan, kita kena pantau. Maklumlah takut penuh perut, nanti tak lawa berkebaya. Tetapi itulah orang kata 'beauty is pain'. Hendak melawa, kenalah jaga makan.

"Tetapi sekarang kebaya merah jambu saya agak longgar dan sesuai dengan imej diri. Jadi, bolehlah makan banyak," katanya yang menyambut Aidilfitri di Seputeh bersama keluarga kecil anaknya.

Margaret berkata, dia dan anaknya pulang ke kampung halaman menantu di Tanjung Malim, Perak petang Syawal pertama.

"Disebabkan mahu mengelak kesesakan lalu lintas, saya, anak dan menantu sepakat bergerak petang raya. Menantu sudah maklumkan perancangan kami kepada keluarganya.

"Apabila beraya di rumah orang, saya paling gemar makan kuah lodeh. Itulah menu yang saya cari di rumah keluarga besan atau di kediaman teman," katanya.

Lebih menyeronokkan, Margaret dibawa beraya di Terengganu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman selama empat hari mulai Syawal keempat.

Rombongan itu diuruskan Kelab Akademi Wan Maimunah yang mengundang 20 artis veteran melawat Terengganu.

"Kami menaiki bas disewa dan Wan Maimunah jadi 'kepala' kami. Seronok dapat bercuti dengan kawan, selain memenuhi aktiviti dirancang. Makan angin sambil beraya," katanya.

Terus bercerita, Margaret berkata, dia mula berpuasa enam yang dilakukan secara berperingkat.

"Namun, apabila ada jemputan raya, saya tidak boleh berpuasa. Takkanlah hendak elak jemputan dengan beri alasan berpuasa.

"Sedangkan Syawal inilah momen terbaik untuk mengeratkan silaturahim. Jadi saya kena rancang masa terbaik untuk menghabiskan puasa enam.

"Puasa enam pun sunat, tapi besar manfaatnya kerana seperti berpuasa setahun. Ada ketika saya masak seringkas mungkin untuk berbuka atau makanan dibeli anak," katanya.

Margaret turut berkongsi rahsia menjaga kesihatan pada usia emas dengan mengamalkan minum empat gelas air kosong setiap hari sebaik bangun tidur.

"Saya amalkan minum empat gelas air kosong sejak dua tahun lalu secara konsisten. Semuanya bermula gara-gara tahap kolesterol dalam badan meningkat.

"Dalam tempoh amalan itu, tahap kolesterol saya turun ke paras normal. Jadi, bangun pagi sebelum solat Subuh, saya minum air empat gelas.

"Tapi saya pastikan tidak menggosok gigi. Sebelum cuci mulut dan masih ada air liur, digalak minum air empat gelas. Selepas sejam, saya boleh nikmati sarapan," katanya.

Margaret juga bersyukur tidak menghidap penyakit memudaratkan termasuk tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

"Cuma baru-baru ini, mata kanan saya sedikit kabur. Doktor sahkan ada katarak. Saya sedang menunggu temu janji dengan klinik kerajaan untuk langkah seterusnya sama ada perlu dibuat pembedahan atau mencari alternatif lain," katanya.

Margaret memulakan karier lakonan secara tidak sengaja pada usia lewat 20-an apabila sebuah syarikat produksi mencari pelakon berbangsa Cina.

Margaret memeluk Islam di hadapan anak di kediamannya pada 15 Februari lalu.