BERITA ABPBH

Mamat ikuti program masyarakat, dipantau AADK

[email protected]

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Exists, Mamat mendedahkan pergerakannya masih dipantau oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan Johor Bahru susulan isu penyalahgunaan dadah pada 2019.

Memperincikan perkara itu, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 43, berkata, dia perlu melaporkan diri kepada agensi terbabit dan mengikuti aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan selama dua tahun.

"Saya perlu melaporkan diri kepada AADK Johor Baharu jika mahu keluar kawasan untuk urusan kerja setiap bulan bermula sejak awal tahun ini.

"Selain itu, saya perlu mengikuti program kemasyarakatan dianjurkan AADK sebagai syarat dalam tempoh pemulihan.

"Saya tidak kisah mengikuti peraturan ditetapkan demi kebaikan saya," katanya kepada HIP.

Mamat ditemui pada majlis pelancaran album Live Exists Reunion yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Exists mempunyai perancangan mengadakan konsert jelajah yang diuruskan oleh penganjur, Shiraz Project, tahun hadapan. - NSTP/Aswadi Alias
Exists mempunyai perancangan mengadakan konsert jelajah yang diuruskan oleh penganjur, Shiraz Project, tahun hadapan. - NSTP/Aswadi Alias

Penyanyi yang popular menerusi lagu Salju Di Danau Rindu itu berkata, Exists mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert jelajah pada tahun hadapan, jadi segala urusan berkaitan diuruskan oleh penganjur, Shiraz Project.

"Komitmen terhadap konsert memerlukan saya berulang alik dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Alhamdulillah, semua aktiviti membabitkan Exists diuruskan oleh Shiraz Project.

"Secara kebetulan, saya menjalankan perniagaan menjual makanan di kampung halaman. Jadi, memang kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur," kata Mamat.

Mengulas desas-desus bakal menamatkan duda dalam masa terdekat, Mamat enggan mengulas lanjut.

"Saya tiada ada apa-apa nak cakap. Insya-Allah," ungkapnya ringkas.

Terdahulu, Mamat pernah ditahan pada 8 September 2019 ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru bersama rakannya pada jam 11.30 malam kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.

Kejadian itu berlaku sebelum Mamat menjayakan Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019. Susulan itu, Mamat dikehendaki menjalani rawatan pemulihan dadah di Persatuan Pengasih Malaysia.