Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Malaysia tuan rumah i-Sing World 2023

06 Dec 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan i-Sing World 2023 edisi keempat antara 23 hingga 28 Mei, tahun hadapan selepas dua tahun tertunda akibat penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, i-Sing World bakal mengadakan uji bakat untuk mencari individu berbakat bagi mewakili Malaysia di tiga lokasi termasuk Sabah dan Sarawak bermula 30 Disember ini.

Penganjur dari Creative Line Promotion, Romli Bidin berkata, kejohanan itu secara tidak langsung menjadi usaha terbaik untuk mempromosikan Malaysia memandangkan lebih 40 negara akan menyertai pertandingan itu.

"Kami menerima hak menganjurkan i-Sing World edisi keempat di Malaysia pada Mac 2020. Namun, dunia dilanda pandemik COVID-19 selepas perjanjian dimeterai.

"Jadi, Malaysia akan menjadi tuan rumah dan menganjurkan kejohanan yang akan disertai lebih 40 negara pada Mei tahun hadapan.

"Sebelum itu, kami akan mengadakan uji bakat wakil Malaysia di tiga lokasi, hujung bulan ini. Kami akan menambah lokasi jika sambutan memberangsangkan," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media i-Sing Malaysia 2023 di sini, petang tadi.

Pengasas i-Sing Malaysia, Micheal Samy (kiri), Sammy Wong dan Edzuar Zar Ayub Azari melancarkan Kejohanan i-Sing World 2023. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengasas i-Sing Malaysia, Micheal Samy (kiri), Sammy Wong dan Edzuar Zar Ayub Azari melancarkan Kejohanan i-Sing World 2023. - NSTP/Rohanis Shukri

Romli berkata, kejohanan itu akan mempertandingkan tiga kategori iaitu kategori junior, dewasa (solo) dan kumpulan.

"Bagi kategori penyanyi junior perlu berusia antara enam sehingga 16 tahun, penyanyi solo berusia 17 tahun ke atas dan kumpulan terdiri daripada dua hingga lima penyanyi tanpa mengira usia.

"Istimewanya, kami tidak akan memilih pakej atau rupa. Paling penting, berbakat besar.

"Sekiranya ada bakat, tetapi tiada rupa, tidak menjadi masalah. Kalau ada rupa, tetapi tiada bakat, tak guna juga.

"Ini adalah pertandingan peringkat antarabangsa, jadi kami mahu mengetengahkan bakat lebih daripada segala-galanya.

"Jika dahulu ada had, tetapi sekarang tiada had, jadi mungkin kami akan memilih 10 sehingga 15 mewakili pasukan Malaysia," katanya.

Uji bakat pertama akan diadakan di pusat beli belah Mid Valley pada 30 dan 31 Disember ini, diikuti Kota Kinabalu (Januari 2023) dan Kuching (Februari 2023).

Terdahulu, i-Sing World edisi pertama diadakan di Myanmar pada 2017, diikuti edisi kedua di Paris, Perancis, manakala edisi ketiga diadakan di Stockholm, Sweden.

Pada edisi pertama, wakil Malaysia iaitu Nabillah Mohamad berjaya menduduki tempat ketujuh dari 24 negara.

Seterusnya, penyanyi, Syafeek Ikhwan, 30, dinobatkan sebagai juara dunia bagi kategori solo i-Sing World 2018, sekali gus menewaskan peserta dari 40 negara pada edisi kedua,

Kemudian, pada i-Sing World 2019, Malaysia diwakili dua peserta, iaitu Mohamad Husaini Mahmur dan Nadia Naswan Hasnan. Mohamad Husaini mendapat tempat kedua, manakala Nadia pula di tempat ketiga.