Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

M Nasir kagum Ogy berani hasil pementasan muzikal

07 Dec 2022 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer 'otai', Datuk M Nasir, 64, menyifatkan pembabitan Fauziah Ahmad Daud dalam pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati yang bakal diadakan di Gateway Theatre Singapura pada 11 Februari tahun depan adalah tindakan berani.

Malah, M Nasir turut mengagumi semangat ditampilkan Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy apabila masih sanggup mencabar diri dengan tugasan baharu biarpun usia sudah mencecah 60 tahun.

"Sepatutnya Ogy sudah lama terbabit dalam pementasan muzikal seperti ini. Ini kerana dia sendiri mahu persembahkan, jadi Ogy memang berani dengan usianya yang sudah mencapai 60 tahun.

"Ogy seorang yang bersemangat dan sentiasa memberi perasaan. Sesetengah orang cenderung untuk sembunyikan perasaan, namun Ogy sentiasa meluahkan isi hatinya," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media Muzikal Wajah Rahsia Hati di Royale Chulan The Curve, petang kelmarin.

Ogy bersama rakan artis dan pasukan pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati yang bakal diadakan di Gateway Theatre Singapura pada 11 Februari tahun depan. - NSTP/Aziah Azmee
Ogy bersama rakan artis dan pasukan pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati yang bakal diadakan di Gateway Theatre Singapura pada 11 Februari tahun depan. - NSTP/Aziah Azmee

Ditanya soal kecekalan Ogy dalam industri seni, M Nasir berkata, anak kepada Seniman Datuk Ahmad Daud dan Seniwati Datin Saadiah itu sememangnya memiliki darah penghibur yang juga menjadikannya kekal relevan hingga kini.

"Beliau memiliki darah penghibur. Lihatlah sampai sekarang Ogy masih bertahan dalam industri seni.

"Sejak 1970-an lagi, Ogy sudah berjinak-jinak dalam dalam bidang seni, jadi tidak perlu kita mempertikaikan soal kecekalan hatinya," katanya.

Terbaru, Ogy bekerjasama dengan syarikat produksi Singapura, Dstar Management untuk mengadakan Muzikal Wajah Rahsia Hati dengan gabungan elemen lakonan, nyanyian, tarian dan monolog.

Selain itu, pementasan itu turut mendapat sentuhan penulis skrip, Slen Fadzil dan Zurina Waji yang bakal diarahkan Che Kem.