BERITA ABPBH

Lebih 2,000 penerbit tunggu RTM

[email protected]

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) musykil belum ada perkhabaran berhubung keputusan perolehan atau 'pitching' bagi program televisyen swasta oleh RTM yang dikemukakan, Jun lalu.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli bimbang dengan perkembangan itu yang mana lebih 2,000 syarikat terbabit dalam sesi 'pitching' masih menanti keputusan RTM.

"Setiap tahun, RTM melakukan dua kali sesi 'pitching' bagi perolehan rancangan swasta.

"Bagaimanapun, tahun ini, proses itu hanya dibuat sekali. Ini membimbangkan PTVM kerana majoriti ahli kami bergantung kepada perolehan program TV di RTM.

"Justeru, kami berharap kerajaan lebih bersikap prihatin dalam memastikan peruntukan secukupnya diberi kepada RTM agar lebih banyak peluang dapat disalur kepada program terbitan syarikat tempatan.

"Ini dapat membantu perkembangan industri kreatif tempatan," katanya kepada BH Online.

Jurey berkata, setiap tahun PTVM membangkitkan isu peruntukan perolehan pembelian rancangan TV RTM dan Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan bajet secukupnya bagi menampung tiga saluran milik RTM.

"Perkara ini kami bangkitkan pada sesi libat urus industri kreatif bersama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, baru-baru ini.

"PTVM mencadangkan penambahan bajet di RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Kami juga cadangkan ekosistem yang mampu memacu industri kreatif menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Jurey bimbang dengan perkembangan yang mana lebih 2,000 syarikat dalam sesi ‘pitching’ masih menanti keputusan RTM. - Foto IG Jurey Latiff Rosli
Jurey bimbang dengan perkembangan yang mana lebih 2,000 syarikat dalam sesi ‘pitching’ masih menanti keputusan RTM. - Foto IG Jurey Latiff Rosli

Jurey berkata, persatuan sangat berharap kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) memandang serius kepada isu perolehan.

"Persatuan maju dipercepatkan pengumuman syarikat yang terpilih agar kami dapat meneruskan kesinambungan hidup," katanya.

Jurey berkata, PTVM berharap RTM dapat membuat perolehan sebanyak dua kali setahun supaya lebih banyak syarikat mendapat peluang membekalkan program kepada stesen penyiaran itu.

Tambahnya, persatuan juga berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dapat mengkaji semula sistem perolehan dengan mewujudkan kaedah perolehan yang lebih efektif.

Ini termasuk mengklasifikasikan syarikat seperti dilakukan sektor pembinaan berdasarkan trek rekod, kemampuan kewangan dan kepakaran demi memastikan program dihasilkan berkualiti sesuai dengan bayaran tinggi.

April lalu, kebimbangan PTVM berhubung isu sesi saringan perolehan berakhir apabila RTM dilaporkan mempelawa pembekal yang berdaftar dengan K-KOMM mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP).

Ini bagi pembekalan Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan untuk siaran RTM pada 2023.

RTM menerusi kenyataan dikeluarkan dilapor mengumumkan iklan dibuka antara 20 April hingga 10 Mei lalu untuk sesi pertama membabitkan RFP Pembekalan Program TV Swasta Baharu Tempatan.

Manakala sesi kedua membabitkan tawaran RFP Pembekalan Program TV Luar Negara dan Produk Siap Tempatan yang akan dibuka antara 1 hingga 21 Jun lalu.

Sebanyak 14 kategori program TV ditawarkan bagi mengisi masa siaran di lima rangkaian saluran TV RTM. Saluran itu adalah TV1, TV2, TV Okey, Saluran Berita dan Saluran Sukan.

Antara program adalah drama, telefilem, majalah, dokumentari, animasi, travelog, bual bicara, sambung siri, realiti, sukan, candawara, cereka, muzikal dan terbuka.