Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Konsert Malai Solo ditangguhkan lagi

27 Sep 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Penyanyi jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris terpaksa menunda Konsert Malai Solo yang dirancang bakal berlangsung di Istana Budaya (IB) antara 21 hingga 23 Oktober depan.

Pengurus Projek Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd, Nor Aniza Idris menjelaskan, konsert itu terpaksa ditunda atas sebab utama iaitu pilihan raya umum dan ketiadaan pengarah muzik.

"Produksi ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan dalam persediaan program Konsert Malai Solo. Antaranya, pilihan raya umum kemungkinan besar akan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.

"Jadi, ia menyukarkan penyusunan atur cara konsert dari aspek jemputan tetamu termasuk menteri serta wakil kementerian yang menjadi salah satu tunggak utama kepada penganjuran konsert ini.

"Faktor ketiadaan pengarah muzik, Datuk Ramli MS yang terbabit dalam penjurian program televisyen, Gegar Vanganza (GV) Ke-9 juga antara faktor utama.

"Ia kerana Astro tidak membenarkan Ramli MS terbabit dengan produksi luar ketika masih berada dalam kontrak bersama Astro," katanya menerusi kenyataan media.

Noraniza berkongsi, Konsert Malai Solo menggunakan khidmat 300 individu membabitkan pengarah muzik, Ramli MS, pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya dan kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan.
Noraniza berkongsi, Konsert Malai Solo menggunakan khidmat 300 individu membabitkan pengarah muzik, Ramli MS, pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya dan kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan.

Selain itu, faktor kesihatan dan kesuntukan masa latihan oleh penyanyi utama, Noraniza dan pasukannya turut menuntut pihaknya mengambil keputusan berat itu.

"Noraniza gagal mengurangkan beberapa komitmen aktiviti seni termasuk penganjuran acara Akar Karya Zapin hingga menjejaskan kesihatan, sekali gus mengganggu jadual latihan yang ditetapkan lebih awal.

"Komitmen tetap perlu dilaksanakan kerana tidak dapat dielakkan meskipun sudah dipersetujui pada awal. Namun, atas beberapa faktor membabitkan kontinjen peserta zapin dari luar negara menyebabkan Noraniza terpaksa meneruskannya.

"Jadi, selepas mendapat nasihat beberapa pihak serta mempertimbangkan semua aspek penganjuran, produksi membuat keputusan menangguhkan Konsert Malai Solo buat sementara waktu sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian," katanya.

Terdahulu, Konsert Malai Solo dijadualkan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya selama tiga malam.

Noraniza berkata, konsert itu menggunakan khidmat 300 individu membabitkan pengarah muzik, Ramli MS, barisan pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya tetap, kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan dan banyak lagi.

Tiket konsert berkenaan dijual bermula pada harga RM299 sehingga RM1,599.

Awalnya, konsert berkenaan dirancang diadakan pada September 2020, namun ia ditangguhkan berikutan penularan COVID-19.