BERITA ABPBH

Khai rindu emak, ayah di Perlis

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar rindu untuk berbuka puasa bersama ibu bapa di kampung halamannya di Perlis.

Biarpun hati meronta, namun berikutan situasi semasa, Khai terpaksa akur.

Dia hanya mampu bersabar sambil berharap peluang meraikan Ramadan bersama keluarga tercinta masih ada.

"Sejak berhijrah ke Kuala Lumpur, belum pernah saya tidak pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga.

"Bagaimanapun, disebabkan kita sedang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nampaknya, tahun ini, hasrat itu tidak dapat saya laksanakan.

"Sudah tentu saya rindu untuk berbuka puasa dengan keluarga. Sejak PKP dikuatkuasakan, setiap hari saya bertanya khabar mereka.

"Ramadan kali ini sangat berbeza. Mujurlah saya tinggal bersama keluarga abang. Tidaklah rasa sunyi sangat kerana dapat juga bermain dengan anak saudara," katanya kepada BH Online.

Meskipun  jiwanya kental dan enggan melayan emosi, namun, pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini mengaku tidak dapat membayangkan jika PKP berlanjutan sehingga Aidilfitri.

"Tidak tahulah hendak bayangkan. Kakak ipar saya sedang sarat. Dia mungkin pulang ke rumah keluarganya di Ampang. Takkanlah saya hendak beraya seorang diri.

"Jika itu berlaku, mungkin saya akan menulis surat kepada pihak berwajib meminta keizinan untuk pulang ke kampung. Tapi, saya harap PKP akan segera berakhir," kata penyanyi lagu Luluh ini.

Mengenai rutin hidup sepanjang PKP, penyanyi berusia 26 tahun ini memberitahu, urusan kerja diteruskan seperti biasa.

"Walaupun duduk di rumah, kerjaya seni saya masih seperti biasa.

"Saya ada menjayakan rakaman program untuk Ramadan. Semuanya dilakukan di rumah. Dalam rakaman itu, saya perlu menyanyi atau ditemubual," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai single Setanggi Syurga 2020 hasil kerjasama dengan kumpulan Inteam, Khai atau nama penuhnya, Muhammad Khairul Baharuddin, mengaku teruja lagu itu trending.

"Alhamdulillah, saya bersyukur apabila ramai yang suka dengan gandingan kami. Saya sangat teruja apabila dapat berpadu suara dengan Inteam sebagai antara kumpulan nasyid yang saya teringin bekerjasama," katanya.

Sejak ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music minggu lalu, lagu Setanggi Syurga 2020, iaitu nyanyian asal Inteam yang dirakam pada 2004, merekodkan lebih 700,000 tontonan.