BERITA ABPBH

Khai bertuah jadi pujaan peminat

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Luluh dan Bayang, Khai Bahar, 27, tidak pernah tercicir daripada kelompok Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), saban tahun.

Tahun ini, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin sekali lagi membolosi kelompok lima popular menerusi tiga kategori pencalonan ABPBH 34.

Selain kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, penyanyi kelahiran Kangar, Perlis itu turut menembusi dua kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, ABPBH 34 menerusi gandingan bersama Aina Abdul untuk lagu Nafas Cinta dan Setanggi Syurga 2020 bersama kumpulan Inteam.

"Nama saya mungkin tidak dapat membolosi kelompok Top 5, tanpa sokongan padu peminat dan kelab peminat, Khai Bahar Empire (KBE), setiap tahun.

"Mereka bekerja keras untuk menempatkan nama saya dalam kelompok lima popular.

"Secara jujur, saya tidak menyangka mampu membolosi tiga kategori pencalonan, tahun ini. Ia adalah rezeki dan kurniaan yang sangat bermakna.

"Usaha untuk mencapai sasaran seterusnya sama ada kembali menggenggam trofi Penyanyi Lelaki Popular, saya hanya berserah dan bertawakal. Menang atau kalah, saya tetap menghargai kerja keras peminat dan KBE," katanya kepada BH Online.

Khai hanya mampu membalas jasa peminat dengan karya dan bakat dimiliki. - Foto IG Khai Bahar
Khai hanya mampu membalas jasa peminat dengan karya dan bakat dimiliki. - Foto IG Khai Bahar

Terdahulu, Khai pernah mencipta hatrik memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH edisi ke-30, 31 dan 32. Bagaimanapun, kubu pertahanannya dirempuh oleh Haqiem, seterusnya diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 33, tahun lalu.

Bagaimanapun, Khai dan rakan duetnya, Siti Nordiana memenangi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, ABPBH 33 menerusi lagu Satukan Rasa, tahun lalu.

Khai berkata, dia bersyukur kembara seninya masih utuh disokong peminat tersayang.

"Saya sering tekankan betapa bertuah diri saya meraih sokongan tak berbelah-bagi peminat sejak memulakan kerjaya sebagai penyanyi sejak lima tahun lalu.

"Saya hanya mampu membahagiakan peminat dengan karya dan bakat dimiliki. Saya harap akan terus diberikan idea dan mempersembahkan karya yang baik.

"Pastinya atas kerja keras KBE dan peminat menyokong saya dalam setiap pertandingan menjadi hadiah paling berharga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai baru selesai untuk pradengar lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai.

"Saya antara antara penyanyi terbabit dengan projek istimewa bersama Ajai dan Wake The Baby Records yang menghimpunkan 100 artis menyanyikan lagu ciptaannya.

"Judul lagu belum ada. Saya teruja apabila Ajai mengajak melakukan kolaborasi bersama," katanya.