Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Khai Bahar 'sunting' Izaan 'Bihun Sedap'

30 Sep 2019 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Anak didik Khai Bahar, Izaan ‘Bihun Sedap’ sedia menggegar industri muzik dengan single sulung, Merindu yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.

Mendapat gelaran itu hasil perniagaan mihun yang diusahakan keluarga, Izaan atau nama penuhnya, Mohamad Iza’an Abdul Talib, 22, tidak menyangka penyanyi Bayang itu tertarik dengan bakatnya.

“Saya tak sangka penyertaan dalam musim kedua program realiti, I Can See Your Voice Malaysia menarik minat Khai untuk menjadikan saya artis naungan syarikatnya, Grateful Music.

“Ketika itu, Khai menjadi artis undangan bagi program berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Izaan berkata, sejak bersekolah hingga melanjutkan pengajian di universiti, dia aktif menyanyi dan menggemari muzik genre balada.

Ditanya apakah tidak bimbang jika dibayangi Khai, Izaan ada alasan tersendiri.

“Sikap Khai yang merendah diri dan disayangi peminat, menjadi contoh dan cerminan untuk saya. Sama juga dengan bakatnya.

“Cuma kalau kita meminati seseorang atau menjadikan dirinya idola, tidaklah bermaksud mahu menjadi sepertinya. Saya mahu jadi diri sendiri.

“Insya-Allah, saya tidak akan dibayangi Khai. Dia sudah berada di liga tersendiri. Saya masih baharu dan jauh lagi perjalanan hendak diteroka,” katanya yang teruja merakamkan lagu Merindu ciptaan Khai berkisar dugaan bercinta.

Mengenai perniagaan mihun yang diusahakan sejak empat tahun lalu, Izaan bersyukur bisnes itu memberi pendapatan kepada keluarga.

“Kalau ada yang perasan, ketika bersaing di program I Can See Your Voice, saya menggunakan nama Izaan ‘Bihun Sedap’.

“Nama itu melekat disebabkan perniagaan itu. Namun, kalau ada rezeki lebih apabila menjadi artis, saya hendak bawa ibu bapa pulang ke Perak dan tidak perlu lagi berniaga,” katanya yang meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.