BERITA ABPBH

Kesihatan Faz lebih penting - Fattah Amin

[email protected]

KUALA LUMPUR: Gema takbir yang berkumandang di pagi 1 Syawal menghadirkan perasaan bercampur-baur buat umat Islam di serata dunia.

Sejak bumi dilanda wabak COVID-19, kehidupan manusia perlahan-lahan melalui proses perubahan.

Sayu hati apabila pandemik itu membuatkan perkara yang sebelum ini menjadi rutin harian, tidak lagi boleh dilakukan.

Suka atau tidak, langkah penjarakan sosial, mengelak daripada bersentuhan dengan orang lain dan duduk di rumah, kini menjadi amalan normal baharu setiap insan.

Secara tidak langsung, normal baharu ini memberi impak kepada sambutan Aidilfitri apabila arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak mengizinkan Syawal diraikan merentas negeri.

Walaupun agak sukar untuk menerima hakikat itu, namun demi memutuskan rangkaian COVID-19, semuanya perlu dilalui dengan hati terbuka.

Itulah yang cuba dihadam pelakon, Fattah Amin yang meraikan Lebaran tahun ini dalam keadaan isteri tersayang, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura, berbadan dua.

Memberitahu BH Online, Fattah mengaku kesihatan dan keselamatan isteri tercinta adalah perkara yang paling diutamakan sekarang.

"Hari Raya tahun ini, saya dan isteri sudah sepakat meraikannya dengan keluarga terdekat sahaja. Selalunya, kami akan balik kampung di Perak atau Pahang.

"Namun, berikutan PKPB dan tidak mahu mengambil risiko dengan keadaan Faz yang sedang hamil, kami beraya di Kuala Lumpur (KL) sahaja.

"Kebetulan, kedua orang tua saya, adik-beradik dan ibu mentua tinggal berdekatan. Bilangan mereka jika dikumpulkan semua tidak sampai 20 orang.

"Jadi, tahun ini, kami beraya dengan keluarga kedua-dua belah pihak sahaja," kata pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini.

Keputusan itu turut dipersetujui Fazura sambil memaklumkan fokusnya lebih kepada menjaga kandungan yang sudah memasuki usia lima bulan.

"Sebelum ini, kami sudah berbincang untuk tidak melakukan aktiviti ziarah raya atau pulang ke kampung. Sebaliknya, hanya mahu meraikannya bersama keluarga yang ada di KL.

"Saudara-mara kita boleh jumpa saban tahun, tapi saya tak mungkin hamil setiap tahun.

"Justeru untuk tahun ini, kami mahu ikut saranan kerajaan meraikan Aidilfitri hanya pada Hari Raya pertama bersama keluarga yang tidak sampai 20 orang," kata pelakon filem Dendam Pontianak ini.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku, namun, jauh di sudut hati, terselit rasa terkilan apabila tidak dapat bertemu nenek kesayangan di kampung.

"Bukan sahaja tidak dapat berjumpa nenek, tapi rasa sedih sebab tidak dapat ziarah kubur arwah Papa," luah pelakon kelahiran Pekan, Pahang ini.

Tidak mengukur kemeriahan Hari Raya dengan persiapan serba mewah, kata Fazura, untuk tahun ini, mereka lebih selesa mengamalkan konsep sederhana.

"Kalau ikutkan hati, tahun ini saya hendak pakai jubah sahaja. Bukan hendak pergi ke mana-manapun. Tapi Alhamdulillah, ada sahaja teman-teman yang sudi menghadiahkan saya baju.

"Daripada segi biskut raya pula, ada yang saya beli dan buat sendiri.

"Sesuai dengan situasi ketika ini, kami raikan Hari Raya dengan kesederhanaan kerana ia lebih indah sebenarnya," ujar pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 ini.

Berkongsi keadaan dirinya yang hamil, Fazura bersyukur, dia dapat menunaikan ibadat puasa tanpa berdepan masalah.

"Ramadan lalu, saya juga dapat berpuasa. Alhamdulillah, saya tiada masalah dan kandungan yang memasuki usia lima bulan berada dalam keadaan sihat. Saya juga bersyukur hamil ketika PKP dilaksanakan.

'Sekurang-kurangnya, saya dapat berehat di rumah. Kalau tidak, tentu saya akan sibuk dengan kerja dan menjalani penggambaran di luar.

"Ketika ini, saya hanya bekerja dari rumah dan menguruskan perniagaan produk kesihatan dan pakaian secara atas talian.

"Sesekali saya akan ke pejabat untuk memeriksa stok barangan atau keluar membeli barangan keperluan dapur.

"Tetapi selebihnya, saya lebih selesa berada di rumah. Fattah sentiasa menemani dan menjaga saya," ujar bintang berusia 36 tahun ini.

Pada 17 April lalu, Fazura berkongsi berita gembira dirinya hamil empat bulan di Instagram (IG).

Akuinya, dia sengaja merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum termasuk keluarga. Ini kerana dia mahu memastikan kandungan sihat sepenuhnya dan mengikut petua orang tua.

Selain dikurniakan rezeki cahaya mata, baru-baru ini, pasangan selebriti berpengaruh ini dilantik menjadi duta jenama kasut Bata. Wajah mereka turut menghiasi kempen koleksi produk berkenaan untuk keluaran Hari Raya.