BERITA ABPBH

Kawan kongsi berita pencalonan ABPBH 33 - Shaqiel Naufal

[email protected]

KUALA LUMPUR: Paparan skrin yang dihantar seorang teman menyedarkan penyanyi, Shaqiel Naufal dirinya tersenarai dalam kelompok 20 calon kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPB) Ke-33, awal bulan lalu.

Shaqiel yang popular dengan lagu Benarkan Aku mengaku pada mulanya tidak tahun dirinya tercalon pada acara anugerah berprestij ini.

"Kebetulan, teman saya ketika itu mahu mengundi artis kegemaran. Dia perasan foto saya terpampang dalam kelompok artis yang bersaing dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

"Dia segera menghantar paparan skrin kepada saya. Memang saya sangat terharu dan menghargai usaha ABPBH yang nampak bakat kecil saya.

Shaqiel pernah aktif dalam sukan lasak, Parkour ketika berusia belasan tahun. Foto Ihsan Shaqiel Naufal
Shaqiel pernah aktif dalam sukan lasak, Parkour ketika berusia belasan tahun. Foto Ihsan Shaqiel Naufal

"Cuma, saya tidak ada kelab peminat. Saya cuma ada pengikut Instagram (IG) yang memberi sokongan. Hakikatnya, ramai calon lebih bagus disenaraikan," katanya kepada BH Online.

Shaqiel atau nama sebenarnya, Adam Aqiel Naufal, 23, mula menyertai pertandingan nyanyian sejak berusia lapan tahun.

"Saya kemudian aktif dalam sukan lasak, Parkour ketika berusia 14 tahun. Saya aktif dalam sukan itu sehingga menjadi atlit elit untuk sebuah kumpulan.

"Ketika berusia 18 tahun, saya kembali aktif menyanyi di IG. Saya tampil dengan lagu saduran artis tempatan dan antarabangsa. Saya sebenarnya pemalu dan menggunakan platform media sosial untuk berkongsi bakat," katanya.

Ketika aktif menyanyi di IG, Shaqiel yang meminati Chris Brown dan Bryson Tiller, dilamar menjadi artis syarikat rakaman.

Namun, selepas setahun bersama syarikat rakaman, Shaqiel yang memiliki diploma pengurusan maklumat, memilih untuk bergerak sendiri.

"Biarpun dunia nyanyian tidak dapat dipisahkan dengan saya, dunia penciptaan lagu lebih diutamakan. Nyanyian boleh dianggap sebagai kerja sambilan.

"Saya mahu dikenali sebagai komposer sepenuh masa. Terbaru, saya dan Iqie Hugh mencipta lagu Buaya dendangan Ratu Balqis menampilkan Mimy Fly," katanya yang terbabit dalam projek lagu Ismail Izzani, Pasya dan filem animasi, Didi and Friends.