BERITA ABPBH

'Kak Lina' bolos 4 kategori ABPBH 33

[email protected]

KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad menceburi dunia seni, artis serba boleh, Elly Mazlein mara dengan empat kategori pencalonan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

Kukuh memahat nama sebagai penyanyi, pelakon, pengacara dan ketika ini, meniti dunia komedi, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, bolos dalam kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama bersama Rashidi Ishak untuk drama Kampung People.

Bertanya si empunya diri, Elly mengaku impak drama rantai Kampung People, tahun lalu, membuka rezeki buatnya.

"Perlu saya menyatakan penangan drama Kampung People dan rezeki lain, banyak membuka langkah seni saya menjadi lebih luas.

"Malah, bakat saya sebagai pelawak juga terserlah drama berkenaan. Watak Mona membuka dimensi baharu kepada saya.

"Mungkin dahulu ada yang menganggap saya terlalu 'control' cantik. Tetapi dengan cara betul, bakat atau sisi lain seseorang boleh digali.

Impak lakonannya dalam drama Kampung People, Elly tercalon dalam empat kategori pada ABPBH 33. Foto Ihsan Elly Mazlein
Impak lakonannya dalam drama Kampung People, Elly tercalon dalam empat kategori pada ABPBH 33. Foto Ihsan Elly Mazlein

"Tanpa diduga, sisi humor saya berjaya menggeletek hati ramai dalam dunia lakonan dan meneroka dunia pengacaraan," katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai potensi meraih mana-mana trofi, Elly mengaku masih terlalu awal untuk membuat ramalan.

"Masih terlalu awal untuk menebak apa saja kemungkinan di pentas ABPBH 33. Gementar semestinya kerana bersaing dengan nama hebat.

"Namun, pencalonan awal ini sudah membuatkan saya bersemangat untuk terus bekerja," katanya.

Isteri kepada guru dikenali sebagai Mohamad Azlan Che Nuh ini beruntung kerana kelompok peminat termasuk yang mengikutinya ketika bersaing di pentas musim ketiga Gegar Vaganza (GV) pada 2016, terus menyokongnya.

Malah, Elly yang mesra dengan gelaran Kak Lina Pompom teruja kerana peminat mengambil inisiatif melobi.

"Rasa macam artis muda atau golongan budak baru nak up (BBNU) apabila peminat rancak mengundi saya.

"Malah, saya diberitahu, peminat tidak mahu ketinggalan melancarkan perang poster seperti dilakukan kelab peminat artis lain," kata ibu Putri Sara Sefhia itu.

Dalam perkembangan lain, nama Elly kembali panas selepas musim kedua drama Kampung People disiarkan sejak 17 September lalu.

Malah, banyak babak dalam drama yang turut dibintangi Hun Haqeem dan Riena Diana itu mencuit hati ramai seperti musim pertama.

Terbaru, babak lakonan Elly menyanyikan lagu Empat Dara tular dalam media sosial. Babak itu memaparkan Mona lakonan Elly membersihkan rumah sambil menyanyi lagu berkenaan lalu disambung ibunya, lakonan Adibah Noor.

Elly kemudian menyanyikan semula bait lirik lagu itu dan memuat naik dalam Instagram (IG). Aksinya yang kelakar dan bersahaja menjadi viral sehingga ramai pengikut termasuk selebriti menyahut cabaran Elly.

"Saya tidak sangka cabaran lagu Empat Dara itu tular dan jadi fenomena. Ke mana saja pergi, mereka yang nampak saya secara spontan menyanyikan lagu itu dan mengajuk perkataan 'Haa masuk'.

"Saya rasa macam ada kawan satu dunia dek lagu itu. Ketika pergi ke sebuah negeri di utara baru-baru ini, peminat ceria menerima kehadiran saya.

"Terima kasih kepada teman artis yang 'sporting' menyahut cabaran Empat Dara. Pemenang saya ada umumkan secara senyap. Saya buat cabaran ini suka-suka sahaja sambil berkongsi rezeki," katanya.