BERITA ABPBH

Jiwa Kacau papar isu kesihatan mental

[email protected]

KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental yang meningkat dalam kalangan masyarakat mendorong Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari perubatan berjudul Jiwa Kacau.

Dipersembahkan dalam format dokudrama sebanyak 13 episod ini menemui penonton setiap Selasa, jam 12.30 tengahari di TV1 mulai 14 Disember ini.

Jiwa Kacau diterbitkan bagi memenuhi permintaan masyarakat yang semakin peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan maklumat penyakit.

Bagi memudahkan penonton memahami maklumat dikongsi, kisah disampaikan dalam bentuk lakonan drama. Ini bagi memberi gambaran jelas mengenai penyakit berkaitan psikologi dan psikiatri mengikut rawatan dalam bidang kedoktoran dan daripada sudut agama.

Antara topik dipilih merangkumi penyakit skizofrenia, Post Traumatic Stress Disorder (PTSD), ketagihan dadah, autisme, Obsessive Compulsive Disorder (OCD), alzheimer, meroyan, transvestite, tekanan, anorexia nervosa, sindrom othello, agoraphobia dan bipolar.

Jiwa Kacau turut menemubual doktor pakar perubatan psikiatri, Dr Hazli Zakaria selain penerangan daripada sudut agama oleh Pakar Motivasi, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar.

Episod pertama, Skizofrenia mengisahkan remaja lelaki bernama Amir yang berubah sikap secara tiba-tiba menjadi panas baran apabila fikirannya terganggu. Penyakit halusinasi membuatkan dia bertindak ganas hingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya.

Episod PTSD pula mengisahkan Liyana yang trauma atas kehilangan anaknya, Umairah akibat tragedi Tsunami ketika bercuti di Acheh tanpa restu daripada bekas suami.

Kisah disampaikan dalam bentuk lakonan drama bagi memberi gambaran jelas mengenai penyakit berkaitan psikologi dan psikiatri mengikut rawatan serta sudut agama. - Foto Ihsan RTM
Kisah disampaikan dalam bentuk lakonan drama bagi memberi gambaran jelas mengenai penyakit berkaitan psikologi dan psikiatri mengikut rawatan serta sudut agama. - Foto Ihsan RTM

Liyana sentiasa terbayang wajah anaknya setiap kali berjumpa budak perempuan sebaya permata hatinya itu. Liyana akhirnya berjumpa pakar psikiatri bagi mendapatkan rawatan.

Seterusnya, isu ketagihan dadah membabitkan Haikal yang ketandusan idea menyiapkan penulisan novelnya. Haikal dipengaruhi teman, Muis untuk mengambil dadah bagi mendapatkan idea menulis.

Haikal mula ketagih dan menjadi baran sehingga sanggup menceraikan isterinya. Haikal terselamat sebelum terlewat apabila berada di Pusat Serenti.

Banyak lagi kisah menarik dikongsi dalam dokudrama Jiwa Kacau termasuk dalam episod Autisme yang mengisahkan kanak-kanak penghidap sindrom itu, dikenali sebagai Kei.

Akibat penyakitnya itu, Kei mengundang kemarahan orang di sekeliling. Namun, Kei memiliki kelebihan sendiri iaitu kemahiran bermain alat muzik.

Walaupun kedengaran janggal, namun penyakit transvestite berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Ini berkait penyakit yang berlaku kepada lelaki, walaupun jasmani mereka bersifat lelaki, namun, apabila bersendirian, mereka gemar menjadi perempuan.

Pesakit transvestite biasanya seronok berpakaian wanita. Rawatan kaunseling dan psiko terapi serta bantuan ahli keluarga dan rakan terdekat boleh membantu mengubah sikap pesakit.

Bagi mereka yang terlepas siaran di televisyen (TV), boleh menonton Jiwa Kacau menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile dengan memuat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.