BERITA ABPBH

Janna Nick masih ada pengaruh besar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sekalipun bergelar pengarah dan penerbit, Janna Nick, 26, tidak sesekali mengetepikan kerjaya pelakon dan pengacara, malah masih memiliki pengaruh besar apabila bolos senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Lakaran kecemerlangan Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Munir terbukti apabila berjaya melepasi Top 5 bagi tiga kategori iaitu Pelakon Filem Wanita Popular, Artis Versatil Popular dan Pengacara TV Popular.

Sepanjang penyertaan dalam ABPBH, Janna filem pernah menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular pada ABPBH 3.0 dan Artis Versatil Popular ABPBH 32.

Tidak mudah mengekalkan momentum populariti, pelakon yang melonjak nama menerusi drama Syurga Nur dan Kau Aku Kita itu bersyukur masih mendapat sokongan peminat termasuk ahli kelab, Janna Nicker sejak sembilan tahun bergelar anak seni.

"Saya mengaku kelab peminat menjadi nadi denyutan untuk saya terus bernafas dan melakar kecemerlangan. Saya bukan sesiapa tanpa sokongan mereka.

"Namun, aktiviti bersama kelab peminat tidak aktif sejak pandemik COVID-19 menular. Semua aktiviti membabitkan peminat sukar dilaksanakan.

"Bagaimanapun, hubungan saya dengan mereka tidak terputus. Saya dan peminat berhubung menerusi ruang komen dalam media sosial.

"Kumpulan perbincangan dalam aplikasi WhatsApp terpaksa dibubarkan. Namun, saya tidak akan lupa kenangan manis bersama peminat," katanya kepada BH Online.

Mengulas kejayaan bolos Top 5 dalam tiga kategori, aktres kelahiran Sungai Petani, Kedah ini memberitahu, keinginan menggenggam salah satu trofi tetap ada.

"Jika diizinkan Allah, saya mahu sekali lagi menggenggam trofi Artis Versatil Popular. Namun, saya melihat persaingan agak sengit apabila calon lain ada kelompok peminat yang kuat.

"Sudah tentu, saingan saya adalah Siti Nordiana yang memenangi kategori ini, tahun lalu. Kubu pertahanan peminatnya sukar untuk ditembusi. Begitu juga Mira Filzah yang dianggap 'Malaysian Sweetheart'.

"Memang sukar membolosi Siti Nordiana dan Mira, peluang hendak menang amat tipis. Namun, saya tidak mahu menyerah kalah sebelum berjuang," katanya.

Janna baru selesai mengarah filem sulung terbitan syarikatnya yang diberi judul Mendua. - Foto IG Janna Nick
Janna baru selesai mengarah filem sulung terbitan syarikatnya yang diberi judul Mendua. - Foto IG Janna Nick

Pelakon filem Kimchi Untuk Awak dan Pasal Kau! itu bersyukur namanya masih relevan apabila membolosi senarai Top 5 pada era pandemik.

"Sungguhpun tidak banyak aktiviti seni dilakukan pada era pandemik, ia sudah cukup menggembirakan apabila nama berjaya menembusi senarai Top 5.

"Menang atau kalah, saya terima dengan lapang dada pada malam kemuncak 13 November ini," kata pemilik syarikat, JN Studios & Entertainment itu.

Dalam perkembangan lain, bekas pengacara Melodi di TV3 ini baru selesai mengarah filem sulung terbitan syarikatnya yang diberi judul Mendua.

"Filem berlatar belakangkan era 1970-an itu dibintangi Nazim Othman, Emma Maembong dan Dini Schatzmann.

"Saya tidak sabar menghadiahkan buah tangan pertama ini kepada peminat. Sekarang, filem Mendua masih dalam proses pos-produksi.

"Saya harap sentuhan filem saya ini dapat diterima dengan baik," katanya yang mengacarakan program ilmiah, Banteras COVID-19 terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang disiarkan TV1, Bernama TV dan YouTube FINAS.