Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Jadi calon awal ABPBH 34 pun dah okay - Aisha Retno

25 Sep 2021 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Kemenangan bakat baharu, Aisha Retno dalam program realiti, Vokal Mania terbitan TV3, tahun lalu, membuka mata ramai terhadap bakat dimiliki gadis ini.

Pelbagai peluang datang ke riba termasuk merakamkan lagu Cinta Denganmu yang dijadikan runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin.

Begitu juga single Nukilanku yang menjadi salah satu daripada runut bunyi drama Masih Ada Rindu arahan Osman Ali.

Atas perhatian diberi, tidak hairanlah Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam tersenarai dalam calon awal kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

"Bagi saya yang masih hijau dan jauh lagi perjalanan dicalonkan pada pusingan awal ABPBH 34, ini suatu penghormatan peribadi. Terima kasih kepada penganjur kerana mencalonkan saya.

"Pastinya saingan dalam kategori itu cukup sengit. Calon lain juga berbakat selain ada ramai peminat. Berada dalam senarai 20 calon ini sudah cukup bermakna buat saya.

Aisha bersyukur diletakkan dalam senarai calon awal ABPBH 34 membuktikan kehadirannya dalam dunia seni mula menarik perhatian ramai. Foto Ihsan Aisha Retno
Aisha bersyukur diletakkan dalam senarai calon awal ABPBH 34 membuktikan kehadirannya dalam dunia seni mula menarik perhatian ramai. Foto Ihsan Aisha Retno

"Ada rezeki bolos sebagai Top 5 dan menang, ia sesuatu yang saya tidak dapat teka. Pastinya undian ramai termasuk kelab peminat, Aishalicious dan sokongan keluarga menjadi azimat berharga," katanya kepada BH Online.

Penyanyi tinggi lampai yang juga anak penyanyi Indonesia era 1980-an, Jean Retno Aryani ini bersyukur kerana kelab peminatnya cukup aktif melobi.

"Aishalicious boleh dikatakan kreatif dan menggunakan pelbagai cara untuk meraih perhatian ramai supaya mengundi saya. Malah, peringatan untuk melawat pautan www.abpbh.com.my dan mengundi saya dilakukan setiap hari.

"Pautan juga disebarkan dalam media sosial lain termasuk aplikasi WhatsApp. Saya percaya cara dilakukan sama saja dengan kelab peminat artis lain.

"Usaha mereka sangat bermakna dan saya hargai. Bagi artis baharu seperti saya apabila ada kelompok peminat seumpama itu, saya amat bersyukur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aisha memberitahu dia mengambil masa duduk rumah ketika negara berdepan pandemik COVID-19 untuk mencipta lagu baharu.

"Saya cuba tidak terlalu kerap muncul dengan single baru. Namun, agar tidak membuang masa, saya kumpul material dengan menulis beberapa lagu untuk dilancarkan tahun ini dan tahun depan.

"Dalam masa terdekat, saya mungkin melancarkan karya sulung Bahasa Inggeris nukilan sendiri ketika 'lockdown'. Single bahasa Melayu pula menyusul, tahun depan," katanya.

Aisha yang pernah muncul dengan single pertama, Mengikat Jiwa diikuti single duet bersama Yuka Kharisma berjudul Terima Kasih, tidak menolak andai diberi peluang berlakon.

"Saya okay untuk meneroka dunia berlakon. Saya pernah berlakon dalam video muzik. Jadi, jika ada tawaran berlakon, saya pasti tidak keberatan mencuba nasib," katanya.