Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Jada desak Will mohon maaf

06 Aug 2022 |

LOS ANGELES: Permohonan maaf bintang Hollywood, Will Smith atas keterlanjuran melempang pelawak, Chris Rock di pentas Oscar, Mac lalu, dibuat atas desakan isteri, Jada Pinkett Smith.

Jada menghidap penyakit alopecia yang mengakibatkan keguguran rambut, sejak beberapa tahun lalu. Foto IG Jada Pinkett Smith
Jada menghidap penyakit alopecia yang mengakibatkan keguguran rambut, sejak beberapa tahun lalu. Foto IG Jada Pinkett Smith

Sumber mendedahkan kepada majalah Us Weekly, Jada meyakinkan Will untuk memohon maaf kepada Chris sebagai usaha mencari titik penamat agar dapat terus melangkah ke hadapan.

"Jada menasihatkan Will untuk memohon maaf selepas melihat bagaimana suaminya teruk dikecam dalam kontroversi itu yang tidak menunjukkan tanda-tanda reda," katanya, lapor Us Weekly.

Jada dan Will mendirikan rumah tangga pada 1997. Foto IG Jada Pinkett Smith
Jada dan Will mendirikan rumah tangga pada 1997. Foto IG Jada Pinkett Smith

Pada 28 Mac lalu, tindakan Will melempang Chris di pentas Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung anugerah berprestij itu.

Insiden berlaku ketika Chris yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan Jada yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Secara tiba-tiba, Will yang juga calon Oscar, naik ke pentas lalu melempang Chris yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Chris, Will kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Chris meminta agar nama isterinya yang menghidap penyakit alopecia yang mengakibatkan keguguran rambut, tidak disebut.

Berikutan insiden itu, Will memohon maaf secara terbuka kepada Chris menerusi hantaran di Instagram (IG) pada 29 Mac lalu. Akhir bulan lalu, Will sekali lagi memohon maaf kepada Chris atas perlakuannya.

Will menyatakan permohonan maaf itu melalui video diberi judul 'It's been a minute' yang dimuat naik di saluran YouTube rasminya, yang sudah meraih lebih tiga juta tontonan.

Dalam video sepanjang 5.44 minit itu, antara lain Will mendakwa cuba menghubungi Chris selepas insiden itu, bagaimanapun sehingga kini mereka belum dapat bertemu.

Sumber memberitahu Us Weekly, pihak pengurusan Will berharap kontroversi 'lempang' itu segera lenyap, namun, perkara itu tidak berlaku.

"Mustahil untuk Will terus bergerak ke hadapan melainkan kontroversi di pentas Oscar itu segera ditangani," katanya, lapor Us Weekly. - AGENSI