Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Iman Troye terkejut bolosi dua kategori ABPBH 34

16 Sep 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Belum setahun melakar nama dalam dunia nyanyian, penyanyi Iman Troye semakin selesa dengan pencapaiannya sebagai pendatang baru apabila berjaya membolosi dua kategori pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-34.

Mencipta populariti menerusi single berjudul Teman yang sehingga kini sudah mencecah lebih 40 juta tontonan di YouTube, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Alyssa Sahabudin tidak menyangka namanya sangkut dalam anugerah berprestij yang mengangkat tema #KITABERSAMA.

Hanya lafaz syukur mampu diungkapkan saat mengetahui namanya berjaya menembusi pencalonan bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 34.

"Alhamdulillah, saya tak sangka nama membolosi dua kategori. Jujurnya, saya terkejut, namun gembira sebaik mengetahui berjaya membolosi dua pencalonan.

"Saya belum layak memandangkan masih merangkak sebagai pendatang baharu dalam industri muzik. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong saya.

"Terima kasih menerima karya saya dan berharap mereka terus menyokong saya sampai bila-bila," katanya kepada BH Online.

Iman Troye anggap belum layak dicalonkan memandangkan masih merangkak sebagai pendatang baharu dalam industri muzik. - Foto IG Iman Troye
Iman Troye anggap belum layak dicalonkan memandangkan masih merangkak sebagai pendatang baharu dalam industri muzik. - Foto IG Iman Troye

Mengulas tema ABPBH 34, penyanyi yang mula melakar nama sebagai selebriti media sosial itu berkata, semangat #KITABERSAMA amat penting, lebih lagi, pada zaman pandemik ini.

Katanya, sekalipun seluruh dunia diuji pandemik COVID-19 sejak hampir dua tahun, namun ia bukan bermakna sikap ambil peduli terhadap ahli keluarga, sahabat dan peminat harus diabaikan begitu sahaja.

Sebaliknya, kata gadis kelahiran Rawang, Selangor itu, kecanggihan teknologi dan kewujudan media sosial kini menjadi platform untuk menghubungkan antara satu sama lain dengan mudah dan pantas.

"Semangat #KITABERSAMA amat perlu khususnya pada zaman pandemik. Seperti biasa platform media sosial menjadi tempat untuk berhubung, berkomunikasi dan saling bertanya khabar.

"Tidak kiralah di kalangan adik beradik, saudara mara, peminat mahupun rakan artis sendiri. Pada masa yang sama, media sosial harus menjadi tempat untuk berkongsi pelbagai info berguna.

"Ramai terkesan akibat pandemik, tetapi kita bersyukur kerana adanya platform media sosial untuk berhubung. Selain itu, platform media sosial membantu kerja khususnya buat golongan artis seperti saya untuk berkongsi perkembangan, karya terbaharu dan kehidupan seharian bersama peminat," katanya.

Edisi Ke-34, ABPBH dibawakan Xioami sebagai penaja utama.