Ifa nak bertanding dalam ABPBH tahun hadapan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Dua kali diangkat sebagai Artis Versatil Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Ifa Raziah yakin mampu terpilih dalam kalangan calon awal acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan itu, tahun hadapan.

Menurut Ifa, jangkaan itu dibuat bersandarkan faktor dirinya memiliki produk baharu, iaitu single Starlela ciptaan Hafiz Hamidun yang dilancarkan, tahun ini.

Akui penyanyi Ser Ser Ser ini, dia reda tidak tercalon pada ABPBH 32 yang berakhir minggu lalu, berikutan tidak mempunyai produk baharu sepanjang tahun lalu, yang menjadi syarat asas bagi menyertai acara anugerah itu.

“Bohonglah kalau saya kata tak kecewa. Saya faham diri ini tak ada produk baru sepanjang tahun lalu, jadi memang automatik tak boleh dicalonkan pada peringkat awal ABPBH 32.

“Tidak mengapa... Tahun ini saya sudah pastikan ada produk baru termasuk lagu Starlela ciptaan Hafiz Hamidun.

“Single itu turut jadi lagu tema Karnival Starvendors,” katanya kepada BH Online.’

Tambah Ifa, selain lagu Starlela, dia akan merakamkan satu lagi single berjudul Miss Diva, tidak lama lagi.

“Lagu ini adalah ciptaan Hafiz dan Ressa Herlambang. Kalau tiada aral melintang, single ini akan dilancarkan, tidak lama lagi.

“Penggambaran video muzik akan dibuat di Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya.

Ifa yang hadir pada malam kemuncak ABPBH 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu, berkata, dia meraikan hari jadinya yang ke-44 pada hari sama.

“Dicalonkan atau tidak, saya tetap menyokong ABPBH. Kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran, saya anggap ia hadiah paling bermakna dan sangat besar ertinya.

“ABPBH meninggalkan impak tersendiri dalam kerjaya saya. Pasti saya takkan lupa detik manis memenangi dua kali berturut-turut kategori Artis Versatil Popular,” katanya.

Sebelum tampil di malam kemuncak, Ifa pada sebelah siang menganjurkan majlis sambutan hari lahirnya.

“Dalam hidup ini boleh dikatakan saya sudah ada apa yang dimahukan.

“Saya diberi kesempatan menunaikan umrah sebelum ini. Kalau ada rezeki, saya mahu menunaikan haji dengan suami,” katanya.

Ifa meraih trofi Artis Versatil Popular ABPBH pada edisi ke-29 dan 30.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Rakan & Penaja Rasmi

Akhbar
Rasmi
Penyiar
Rasmi
Penaja
Utama
Penaja
Bersama
Radio
Rasmi
Platform Digital
Rasmi
Media
Digital Rasmi
Kapsul Hiburan
Rasmi