Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Idan, Alicia buru gelaran pelakon harapan FFM 32

30 Nov 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Gelaran terbaik menjadi buruan setiap aktor dan aktres. Namun, menggenggam trofi terbaik bukannya mudah.

Jika trofi terbaik menjadi milik mereka, siapa tidak berbangga. Ia umpama bonus selepas mengerah keringat sebagai pelakon.

Dua pendatang baharu, Idan Aedan dan Alicia Amin yang berjaya menembusi kategori Pelakon Wanita Harapan dan Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM 32) mengakui, mereka menceburi bidang lakonan kerana perasaan ingin mencuba dan minat, tanpa sebarang angan-angan.

Namun, kesungguhan Idan dan Alicia berbaloi apabila dipilih antara lima terbaik dalam mengejar trofi terbaik dalam FFM 32 yang bakal berlangsung di Encore, Melaka, Jumaat ini.

Idan, 18, yang juga menjadi teraju utama filem filem Anak Rimau The Movie terkejut diumumkan calon Top 5, baru-baru ini.

Jarang mendapat kepercayaan melakonkan watak utama dalam drama tempatan, namun mencipta kejayaan di layar lebar apabila namanya tersangkut dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan FFM 32.

Enggan meletakkan harapan tinggi, tambahan bersaing dengan empat pelakon lain, Idan membanggakan industri seni apabila menjadi teraju utama dalam siri Mr Midnight: Beware The Monster tayangan Netflix global, baru-baru ini hanya mampu menyerahkan nasibnya pada takdir.

"Saya tidak sangka nama diumumkan salah seorang finalis kategori Pelakon Lelaki Harapan. Sejujurnya, saya enggan berharap kerana calon lain juga mempunyai potensi untuk menang.

"Jadi, saya hanya mampu menyandarkan kemenangan di tangan Tuhan. Sebagai orang baharu dalam dunia perfileman, saya bangga melihat nama dicalonkan.

"Macam tak percaya pun ada melihat nama terpampang dalam skrin ketika pengumuman Top 5 FFM 32, baru-baru ini.

"Sudah tentu, pencalonan ini menjadi pembakar semangat untuk saya bekerja lebih bersungguh-sungguh lagi. Masih banyak watak yang ingin saya terokai," katanya kepada BH Online.

Idan bergandingan dengan aktor handalan, Beto Kusyairy dalam filem Anak Rimau The Movie, sekali gus membawa tuah kepadanya.
Idan bergandingan dengan aktor handalan, Beto Kusyairy dalam filem Anak Rimau The Movie, sekali gus membawa tuah kepadanya.

Pelakon remaja itu bersaing dengan empat calon, iaitu JJ Ng Jinn Jou menerusi filem The Rise Of Lion, Abbas Mamood (Rasuk), MK K-Clique (Rompak) dan Jaa Suzuran (Auntumn In Wales).

Kata Idan, kejayaan muncul di platform Netflix diikuti namanya menembusi calon Top 5 tidak sesekali membuatkannya mendabik dada.

"Tiada beza antara saya dan pelakon baharu lain. Saya masih memerlukan banyak latihan bagi memantapkan mutu lakonann.

"Saya tak pernah rasa diri bagus, masih banyak selok-belok dunia lakonan harus dipelajarinya," kata Idan.

Sementara itu, model dan pelakon tinggi lampai, Alicia Amin, 27, berkata, setiap pelakon pasti mempunyai impian membawa pulang trofi terbaik dalam acara berprestij itu.

Namun, Alicia akur, ia bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan persaingan seperti Bernie Chan dan Joelah Charles untuk filem Spilt Gravy, Layla Sania Khairuzikri (Small Town Heroes) dan Amelia Henderson (J2: J Retribusi)

Justeru, pemain watak Sofea Arianna dalam filem The Disappearance of Irdina Adhwa arahan Kyle A Halim itu tidak berani meletakkan harapan.

Katanya, dia teruja sebaik nama terpampang dalam skrin ketika pengumuman Top 5, baru-baru ini sama seperti dicalonkan menghiasi kulit hadapan majalah terkemuka.

"Setiap pelakon pasti meletakkan harapan mahu menang, tetapi saya tahu ia bukanlah mudah memandangkan ada empat calon lain yang lebih hebat.

"Tidak menang pun tak mengapa kerana apabila nama dicalonkan, itu bermakna orang sudah mula nampak potensi saya. Ini bermakna saya berada di landasan betul.

"Itu sudah cukup membanggakan dan dianggap kejayaan peribadi, walaupun belum tahu sama ada menang atau tidak," katanya.

Filem The Disappearance of Irdina Adhwa arahan Kyle A Halim berjaya menonjolkan bakat Alicia sehingga tersenarai dalam lima terbaik dalam kategori Pelakon Wanita Harapan FFM 32.
Filem The Disappearance of Irdina Adhwa arahan Kyle A Halim berjaya menonjolkan bakat Alicia sehingga tersenarai dalam lima terbaik dalam kategori Pelakon Wanita Harapan FFM 32.

Bagaimanapun Alicia berkata, dia harus berterima kasih kepada pengarah Allahyarham Azhari Zain yang membimbing pelakon filem The Dissapearnce fo Irdina Adhwa sebagai jurulatih lakonan.

"Perasaan saya bercampur baur bila dicalonkan kerana arwah Azhari pernah menjadi guru lakonan. Secara tidak langsung menimbulkan perasaan suka dan duka apabila mengenang semula momen bersamanya.

"Arwah adalah orang yang berjasa buat pelakon filem ini. Beliau memastikan setiap pelakon mempunyai 'chemistry' antara satu sama lain.

"Walaupun hanya sempat mengenali arwah selama selama dua minggu, tetapi beliau sangat komited bekerja.

"Beliau berjaya membantu setiap pelakon membina karakter masing-masing, walaupun sepatutnya hanya memberikan kelas lakonan, namun tidak berkira mencurah ilmu.

"Sepanjang penggambaran, arwah tidak kisah membimbing dan mengajar kami," katanya yang terkilan tidak sempat mengunjungi arwah ketika sakit dan meninggal dunia.