BERITA ABPBH

Ibu Hattan meninggal dunia

[email protected]

KUALA LUMPUR: Selepas kehilangan abang ipar, semalam, penyanyi otai, Datuk Hattan sekali lagi diuji dengan pemergian ibu tercinta, Allahyarham Hindon Md Sani, 83, yang menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, di sini, jam 3.30 petang, hari ini.

"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ketika majlis pengebumian arwah abang ipar, semalam.

"Semalam, kakak menghubungi saya menerusi panggilan video memberitahu arwah sakit dada. Saya kemudian memintanya lihat jika arwah ada muntah atau tidak.

"Apabila arwah muntah, saya segera minta kakak membawanya ke hospital kerana itu petanda sakit jantung. Keadaannya semakin kritikal apabila tekanan darah menurun dan paru-paru semakin lemah.

"Seharian kami menunggu kerana perlu melalui pelbagai prosedur operasi standard (SOP) hospital sebelum dibenarkan melawatnya. Namun, doktor memaklumkan arwah sudah tiada, tidak lama kemudian," katanya kepada BH Online sambil menangis.

Hattan berkongsi khabar duka pemergian arwah ibunya menerusi hantaran di FB, petang ini.
Hattan berkongsi khabar duka pemergian arwah ibunya menerusi hantaran di FB, petang ini.

Tambah Hattan, dia kini sedang berada di Unit Forensik menunggu urusan selesai sebelum membawa pulang jenazah arwah ibu ke kampungnya, Seri Menanti, Negeri Sembilan.

"Ketika ini, pihak hospital sedang menjalankan ujian saringan bagi memastikan arwah bebas dari jangkitan COVID-19. Urusan mandi, kafan dan solat jenazah akan dilakukan di kampung.

"Insya-Allah, jika sempat, jenazah akan disemadikan, malam ini. Kalau tidak, kami memutuskan untuk mengebumikan esok pagi sahaja," ujar penyanyi Memburu Rindu ini.

Terdahulu, Hattan berkongsi khabar duka menerusi laman Facebook, petang ini.

"Bonda tercinta saya pergi menemui penciptanya. Ya Allah, ampunkanlah bondaku Ya Allah," tulisnya.

Perkongsian itu turut mendapat simpati daripada rakan artis dan peminat sambil mendoakan Hattan tabah menghadapi ujian.