BERITA ABPBH

Ian Kasela lelong cermin mata hitam kumpul dana

[email protected]

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Radja, Ian Kasela, 46, menafikan mengalami kesempitan wang ketika pandemik COVID-19 lalu.

Jelas Ian, tindakannya melelong cermin mata hitam dengan harga 250 juta rupiah (RM75,000) untuk tujuan mengumpul dana bagi untuk membantu orang sekeliling yang memerlukan.

"Sebenarnya, lelongan kaca mata hitam ini bukanlah untuk tujuan peribadi. Selepas melihat situasi orang sekeliling, saya ingin membantu.

"Logik sebagai manusia, kita berfikir apa yang boleh bantu pada saat saya juga tidak mempunyai pendapatan.

"Jadi, saya cuba mencari wang dengan cara menjual sesuatu yang peminat tahu mengenai saya. Salah satunya, mereka tahu vokalis Radja sinonim dengan kaca mata hitam.

"Namun, kaca mata hitam yang dilelong tidak terjual kerana harga ditawarkan, tidak sampai. Harga lelongan hanya cecah sehingga RM36,000, tetapi sasaran saya RM75,000.

"Sekiranya, ada yang mahu membeli dengan harga ini, barulah saya jual. Dan, wang yang diperoleh ini akan saya sumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan. Ada juga peminat di Malaysia menawarkan harga RM25,000," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, arahan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Jakarta berikutan pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada orang ramai.

Ian, antara selebriti yang sanggup melelong koleksi kaca mata hitam yang sering digunakannya bagi membantu orang ramai.

Kata Ian, pandemik turut memberi kesan kepadanya, namun, bersyukur kewangannya tidak terlalu terjejas atas pengurusan wang yang betul.

"Jadi, saya mahu jual kaca mata hitam bukan untuk keperluan saya. Bukan kerana saya mengalami kesusahan, tetapi saya mahu mencuba membantu mereka yang lebih memerlukan.

"Saya sedar orang baik adalah mereka yang membantu orang sekeliling terlebih dahulu, sebelum membantu orang yang lebih jauh," katanya.

Ian bersama vokalis Repvblik, Ruri Herdian Wantogia bakal menggegarkan menerusi Konsert Radja dan Repvblik Live In Kuala Lumpur pada 13 November depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ian bersama vokalis Repvblik, Ruri Herdian Wantogia bakal menggegarkan menerusi Konsert Radja dan Repvblik Live In Kuala Lumpur pada 13 November depan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kongsi Ian, kaca mata hitam yang mahu dijual adalah koleksi yang disimpan lebih 20 tahun.

"Kaca mata hitam ini yang menemani saya ketika kali pertama dikenali peminat. Dan, ia juga menemani saya menjelajah di beberapa kota di Indonesia.

"Lebih istimewa, ia juga paling lama saya simpan, lantas paling banyak kenangan bersama saya. Cermin mata ini masih ada bersama saya hingga sekarang," katanya.

Ian ditemui pada sidang media Konsert Radja dan Repvblik Live In Kuala Lumpur di Restoran Riverside, World Trade Centre (WTC), di sini, semalam.

Turut hadir, vokalis Repvblik, Ruri Herdian Wantogia.

Buat kali pertama, Radja akan bergabung bersama Repvblik menerusi konsert di WTC pada 13 November depan, jam 8.30 malam.

Kata Ian, Kuala Lumpur adalah ibu kota pertama di luar Indonesia yang menyaksikan gabungan semula Radja selepas berpecah seketika dan istimewanya, satu pentas bersama Repvblik.

"Malaysia sudah seperti rumah kedua kami, namun disebabkan pandemik, sudah lama kami tidak boleh merentas ke sini.

"Kami juga sering menerima respon positif dari peminat di Malaysia, jadi tidak salah untuk kami memberi persembahan kepada mereka.

"Konsert ini nanti akan mengimbau semula nostalgia Radja, yang juga konsert yang lebih dekat dan akrab bersama peminat di Malaysia," katanya.

Radja adalah salah satu kumpulan dari Indonesia yang cukup popular di Malaysia sekitar 2001. Antara lagu yang popular adalah Jujur, Tulus dan Benci Bilang Cinta.

Konsert anjuran Angkasa Mukmin Sdn Bhd itu bakal berlangsung selama dua jam yang akan dimulakan dengan Repvblik dan kemudiannya, Radja.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Radja dan Repvblik Live In Kuala Lumpur menonton boleh didapati dengan melayari www.ilassotickets.com.