BERITA ABPBH

Hijjaz beri nafas baharu lagu Seniman Agung

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sejak lama dahulu, lagu-lagu merdu ciptaan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee diberi nafas baharu oleh penggiat seni mengikut kreativiti dan interpretasi masing-masing.

Terbaru, lagu malar segar, Tiada Kata Secantik Bahasa mendapat sentuhan generasi muda, namun dengan garapan lebih istimewa dan berbeza.

Dendangan berkenaan diberi sentuhan Islamik dengan menyelitkan selawat ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

Lagu Lagu Tiada Kata Secantik Bahasa Versi 2020 (TKSB2020) dinyanyikan kumpulan nasyid popular, Hijjaz bersama bintang program Mentor musim ketujuh, Pasya serta pasangan penyanyi hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Salah seorang anggota Hijaz, Isman Nadim berkongsi keterujaan dengan projek berkenaan.

"Lagu asal digubah P Ramlee dengan lirik dihasilkan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

"Untuk versi baharu, lirik dihasilkan saya bersama Kmy dan Luca," katanya.

Hijjaz mencuba sesuatu yang baharu dengan tampil dengan versi berbeza untuk lagu Tiada Kata Secantik Bahasa ciptaan P Ramlee. Foto Ihsan Universal Music
Hijjaz mencuba sesuatu yang baharu dengan tampil dengan versi berbeza untuk lagu Tiada Kata Secantik Bahasa ciptaan P Ramlee. Foto Ihsan Universal Music

Isman berkata, idea untuk menghasilkan TKSB2020 dicetuskan sejak dua tahun lalu.

"Ketika itu, kumpulan Hijjaz berada di Madinah menunaikan umrah. Kami terdetik bagaimana jadinya kalau lagu Allahyarham P Ramlee diubah kepada selawat Nabi.

"Adakah peminat dapat terima perubahan itu. Mampukah peminat menerima gabungan tiga genre artis dalam lagu ini yang memperjuangkan elemen rock, nasyid dan hip hop," katanya.

Isman berkata, idea itu dimantapkan apabila mereka berbincang dengan syarikat rakaman, Universal Music dan MonkeyBone.

Sementara itu, Luca Sickta berkata, muzik bersifat universal.

"Tiada yang mustahil kalau kita mencuba sesuatu kelainan. Asalkan mesej yang hendak disampaikan mendapat tempat di hati pendengar, tidak salah kita melakukannya," katanya.

Lagu terbitan Universal Music ini boleh didapati di semua platform digital terpilih sejak 25 Oktober lalu.