BERITA ABPBH

Harap kerajaan terus sokong industri kreatif

[email protected]

KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Bajet 2021, penggiat industri kreatif berharap kerajaan terus memberi sokongan sepanjang fasa pemulihan melalui inisiatif yang dicadangkan dalam maklum balas kepada MyCreative Ventures, sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kajian itu, 81.6 peratus penggiat kreatif menyenaraikan bantuan pembiayaan kerajaan sebagai keutamaan mereka, disusuli peluang pembabitan dalam ekonomi kreatif (70.9 peratus) dan pengenalan insentif cukai (68.8 peratus).

Selain maklumat berhubung sokongan yang diharapkan penggiat industri kreatif, kajian juga mengenalpasti kebimbangan utama perniagaan kreatif dalam memastikan kesinambungan bisnes.

Ini termasuk perubahan prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan aktiviti sosial dan perniagaan yang merangkumi 62.4 peratus, kos operasi perniagaan termasuk sewa, gaji pekerja dan utiliti (60.9 peratus) dan ketidaktentuan dalam meneruskan aktiviti perniagaan (57.4 peratus).

Maklum balas termasuk pengurangan kos operasi perniagaan (39 peratus), suntikan modal dari pemilik (32.6 peratus) dan pemasaran melalui pengiklanan digital atau media sosial (30.5 peratus) dikenal pasti sebagai langkah yang paling kerap diambil penggerak industri kreatif untuk bertahan pada era pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Junady Nawawi, berkata pihaknya berharap kerajaan mengambil langkah komprehensif demi memastikan ekonomi negara berada di landasan menuju ke arah pemulihan selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

"MyCreative komited untuk memenuhi mandat dalam melaksanakan langkah rangsangan dan pembangunan bagi mempercepatkan pertumbuhan Ekonomi Jingga atau ekonomi kreatif melalui evolusi ekosistem yang komprehensif.

"Selain itu, usaha itu dilakukan melalui peningkatan kemahiran dan bakat untuk memenuhi keperluan industri serta mengukuhkan kemajuan dan promosi produk.

"Ini bagi merealisasikan cita-cita Malaysia menjadi pengeksport produk dan perkhidmatan industri kreatif yang unggul," katanya dalam kenyataan kepada BH Online.

Junady berkata, MyCreative amat prihatin dengan impak penularan pandemik COVID-19 kepada penggiat industri kreatif dan sentiasa berusaha membela nasib penggiat mereka melalui pelbagai program bantuan dan sokongan yang disalurkan kerajaan.

"Sebagai salah satu syarikat pelaburan kerajaan, penubuhan MyCreative bertujuan memacu industri kreatif Malaysia melalui inisiatif yang disusun secara strategik serta bantuan pembiayaan inovatif menerusi pinjaman atau pelaburan ekuiti dalam syarikat-syarikat kreatif Malaysia," katanya.

 MyCreative prihatin impak penularan pandemik COVID-19 kepada penggiat industri kreatif dan sentiasa berusaha membela nasib melalui pelbagai program bantuan yang disalurkan kerajaan. - Foto NSTP
MyCreative prihatin impak penularan pandemik COVID-19 kepada penggiat industri kreatif dan sentiasa berusaha membela nasib melalui pelbagai program bantuan yang disalurkan kerajaan. - Foto NSTP

Junady berkata, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, MyCreative menguruskan RM55.2 juta melalui beberapa siri inisiatif iaitu Pelan PENJANA untuk Industri Kreatif, Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan Pelan Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

"Semua ini memanfaatkan lebih daripada 16,000 perniagaan dan penggiat kreatif dalam membantu mereka bertahan dengan cabaran pandemik COVID-19.

"Antara program, geran dan perkhidmatan yang disediakan MyCreative sepanjang tempoh itu adalah Pinjaman Mudah Trek Laju, Geran Pemasaran dan Promosi Digital, Inisiatif Pemulihan CENDANA, Geran Pemulihan Industri Kreatif serta banyak lagi," katanya.

Junady berkata, MyCreative percaya penggiat industri kreatif sangat menghargai bantuan yang disalurkan kerajaan sepanjang tempoh itu dan berharap ia ditambahbaik dan diteruskan pada masa akan datang.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan industri kreatif atau 'Ekonomi Jingga' sebagai salah satu daripada lapan industri strategik dan berimpak tinggi selain elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar selain memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Dalam hal ini, kerajaan meletakkan usaha merancakkan ekonomi antara fokus utama dengan memberi tumpuan kepada mengembalikan semula momentum pertumbuhan semua sektor ekonomi.

"Dalam pengumuman itu, MyCreative dilihat akan dapat memainkan peranan dalam mempercepatkan pembangunan industri kreatif negara dalam memangkin sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM31.9 bilion menjelang 2025 melalui pembangunan ekosistem yang holistik," katanya.

Bagi mencapai objektif industri kreatif dan pada masa sama menyokong objektif Bajet 2022, Junady berkata, MyCreative percaya strategi serampang dua mata perlu diterapkan iaitu inisiatif pemulihan untuk melindungi pemulihan organik dan

pertumbuhan industri kreatif bagi memastikan pemain industri disokong melalui bantuan kewangan dan insentif cukai.

"Ini termasuk usaha berdaya tahan dan pembaharuan untuk mengukuhkan semula industri kreatif melalui inisiatif transformasi yang akan dimulakan serta meletakkan asas dalam pertumbuhan mampan industri kreatif," katanya.