Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

FINAS beri filem Mat Kilau dana RM1.8 juta

05 Jul 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melihat fenomena filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menjadi penanda aras terhadap sokongan filem Melayu, sekali gus, memberi galakan kepada penerbit dalam meningkatkan penghasilan karya berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

FINAS merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd yang berjaya meraih kutipan RM43.9 juta jualan tiket dalam tempoh 12 hari tayangan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, prestasi memberangsangkan filem Mat Kilau memberi sinar baharu kepada industri perfileman negara.

Katanya, filem arahan Pengarah Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-28, Syamsul Yusof itu bukan sahaja mencetuskan fenomena di Malaysia, malah, Singapura dan Brunei Darussalam, sekali gus, membuktikan jenama filem tempatan mampu meraih kepercayaan penonton ke pawagam selepas dua tahun berdepan pandemik COVID-19.

"Kejayaan filem Mat Kilau membuktikan kekuatan karya inspirasi menerusi kisah sejarah dan epik diterima penonton dan mempunyai potensi besar diangkat ke layar perak.

"Lebih membanggakan filem Mat Kilau menerima galakan kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), manakala, FINAS sebagai agensi pelaksanaan Dana Kandungan Digital (DKD).

"FINAS memberikan geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran sebanyak RM300,000. Selain itu, proses suntingan dibuat di Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, pagi ini.

Md Nasir berpendapat kejayaan filem Mat Kilau membuktikan kekuatan karya inspirasi menerusi kisah sejarah dan epik diterima penonton dan mempunyai potensi besar diangkat ke layar perak.
Md Nasir berpendapat kejayaan filem Mat Kilau membuktikan kekuatan karya inspirasi menerusi kisah sejarah dan epik diterima penonton dan mempunyai potensi besar diangkat ke layar perak.

Justeru, Md Nasir berkata, pembikin filem yang menerima dana menerusi FINAS dapat mengiktiraf sumbangan kerajaan terhadap karya dihasilkan.

"Kejayaan filem dan penerbitan lain menerima dana atau menggunakan kemudahan disediakan kerajaan membuktikan program disalurkan menerusi K-KOMM dan FINAS sebagai agensi pelaksana adalah dasar yang tepat dan dapat membantu penerbit filem tempatan.

"Justeru, menjadi tanggungjawab penggiat industri kreatif yang menerima peruntukan melalui FINAS untuk terus mematuhi perjanjian kontrak dan memberi kredit sewajarnya kepada kerajaan, K-KOMM dan FINAS, seperti termaktub dalam terma perjanjian," katanya.

Selain dana, katanya, FINAS juga sangat komited dalam membantu meringankan beban golongan penerbit melalui Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sejak 1 Julai 2011 menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan.

"Insentif ini ihsan kerajaan dalam membantu pembikin filem tempatan yang perlu membayar duti hiburan sebanyak 25 peratus kepada kerajaan negeri yang sudah tidak disalurkan semula kepada FINAS sejak 2000.

"FINAS meneruskan insentif ini kerana menyedari kepentingan industri seni kreatif yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

"Justeru, filem Mat Kilau berpeluang menerima pulangan sebanyak RM500,000 kerana kutipan tiket sudah melebihi RM6 juta," katanya.

Beliau berkata, FINAS akan mengadakan pertemuan dengan pempamer dan penerbit filem bagi melihat semula agihan keuntungan jualan tiket antara kedua-dua pihak agar mencapai keputusan serta garis panduan jelas serta adil pada 7 Julai ini.