Fikry tunggu Uyaina

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pernah mencipta kejayaan apabila bergandingan dengan Siti Nordiana dan Farah Nabilah, pelakon, Fikry Ibrahim, mengintai pula peluang beraksi di sisi Uyaina Arshad.

Fikry, 25, yang dikenali menerusi drama Cekelat Honey dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek berkata, pelakon serta pengacara terbabit memiliki keistimewaan tersendiri.

“Jika ditanya mengenai teman gandingan akan datang, saya memilih Uyaina kerana dia memiliki tarikan dan karakter tersendiri.

“Meskipun belum pernah bergandingan dalam mana-mana produksi, saya yakin kami mampu mencipta keserasian. Sebagai pelakon, saya kena berani mencuba untuk melihat sejauh mana bakat diterima.

“Saya pula belum lagi nampak dirinya diangkat sebagai teraju untuk drama yang benar-benar mampu menyerlahkan bakat dimilikinya,” kata artis kelahiran program Lawak Solo 2016 itu.

Kata Fikry, dia pernah berjumpa Uyaina di sebuah stesen penyiaran dan amat menyenangi keperibadian gadis terbabit.

“Dia seorang yang bijak. Kali pertama bersua, kami boleh bersembang dengan mesra.

“Saya percaya, jika diberi peluang bergandingan, disertakan dengan disiplin tinggi dan usaha memberikan persembahan terbaik, siapa tahu gandingan kami akan menjadi?” katanya.

Sementara itu, diminta komennya apabila tewas kepada gandingan Remy Ishak dan Mira Filzah dalam kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ahad lalu, Fikry berkata, semangatnya tidak luntur untuk terus berjuang mempertaruhkan bakat.

“Saya percaya, mereka yang menang mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri. Diakui, keserasian antara Mira dan Remy terserlah menerusi beberapa naskhah menggandingkan mereka berdua, termasuk filem Sangkar,” katanya.

Tidak menafikan gandingannya bersama Farah Nabilah menerusi drama, Cik Reen & Encik Ngok Ngek dan Kau Yang Pertama, menerima maklum balas positif, Fikry bagaimanapun ingin lari daripada bayangan itu.

“Memang kami selesa disatukan kerana saya dan Farah sudah tahu cara kerja masing-masing. Tetapi, rasanya cukuplah dengan dua drama itu buat waktu ini. Bimbang pula andai terlalu kerap digandingkan, peminat mula berasa bosan.

“Begitupun, jika ada medium lain yang mahu menyatukan kami, seperti filem, mungkin ia boleh dipertimbangkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Rakan & Penaja Rasmi

Akhbar
Rasmi
Penyiar
Rasmi
Penaja
Utama
Penaja
Bersama
Radio
Rasmi
Platform Digital
Rasmi
Media
Digital Rasmi
Kapsul Hiburan
Rasmi