BERITA ABPBH

Ezad tak putus asa cari lagu hit

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezad Lazim optimis mengatur strategi karier muzik biarpun mengakui percubaan mempertaruhkan single baharu mengundang risiko.

Ezad mengaku proses menerbitkan material terkini sukar, malah, ada penyanyi 'otai' berpendapat tidak perlu menghasilkan single baharu, sebaliknya terus unggul dengan dendangan malar segar.

Namun, bagi Ezad yang mencipta populariti bersama kumpulan Exists dan bergerak solo, lagu baharu memberi isyarat dirinya mahu terus relevan.

"Sejak bergerak solo, ada single atau lagu duet saya yang tidak menjadi dan kurang sambutan. Namun, itu bukan penamat atau penghalang.

"Biasalah, ada rezeki lagu menjadi atau sebaliknya. Single Demi Cinta misalnya, benar-benar meledak. Ada lagu lain yang dirakam seterusnya dikatakan 'sendu' dan kurang menjadi.

Ezad optimis mengatur strategi karier seni agar dirinya terus relevan. Foto NSTP Aziah Azmee
Ezad optimis mengatur strategi karier seni agar dirinya terus relevan. Foto NSTP Aziah Azmee

"Namun, 'meletup' atau tidak, saya tidak akan berputus asa," katanya pada sidang media mempromosikan lagu duet Meski dendangan bersama artis Singapura, Nana Karia di ibu negara, baru-baru ini.

Ezad atau nama sebenar, Mohd Rohaizad Mohd Lazim berkata, dalam apa pun tindakan, dia tidak boleh tamak.

"Apabila saya beritahu kena relavan dengan lagu baharu, bukan bermaksud saya tamak. Tiada istilah itu. Cuma, ada lagu yang dirakam, dilancarkan pada tempoh sama, atau dekat-dekat.

"Jadi, saya kena belajar merancang dan berbincang agar mungkin tidak dilancarkan serentak atau hampir antara satu lagu ke lagu lain," katanya.

Ditanya mengenai rakaman duet dengan Nana yang tidak begitu dikenali di Malaysia biarpun sudah lama mencipta nama di Singapura, Ezad ada alasan sendiri.

"Saya tidak berapa kenal Nana. Tetapi, kami terbabit dengan persembahan sama, beberapa tahun lalu. Saya anggap projek lagu duet ini suatu rezeki di mana ramai yang mahu jalin kerjasama.

"Sebelum ini, saya pernah berduet dengan artis Indonesia, Iva Virginia menerusi lagu Dua Insan. Sekarang, giliran artis dari Kota Singa pula," katanya yang merakam single Meski secara berasingan, tahun lalu.

Ezad berkata, single Meski dicipta Jaybon Osman yang pernah bermain bes untuk kumpulan Teacher's Pet manakala lirik dihasilkan Nana atau nama sebenar, Nur Hasanah Zakaria.

"Ada banyak sebab saya tertarik dengan lagu ini. Lirik nukilan Nana sangat puitis dan bermakna. Menurut Nana, lirik itu umpama wasiat jika nyawa dicabut Tuhan.

"Apabila kami berbual, masing-masing ada kisah getir dan pergelutan dalam hidup. Nana misalnya, pernah berusaha mendapatkan anak melalui rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali.

"Nana beritahu nadinya pernah berhenti berdenyut selama 10 saat ketika proses kedua dibuat. Saya juga pernah dibedah beberapa kali.

"Saya pernah terfikir andai umur tidak panjang, lalu apa akan jadi kepada isteri dan anak," katanya.