BERITA ABPBH

Duti hiburan 25 peratus bebankan pembikin filem

[email protected]

KUALA LUMPUR: Industri perfileman tempatan sudah sekian lama berada dalam kesuraman selepas Skim Galakan Hiburan menerusi pemulangan duti hiburan kepada penerbit filem ditarik balik oleh kerajaan pada 2010.

Sejak itu, duti hiburan tidak dikembalikan, sebaliknya penerbit menerima insentif melalui Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC).

Tentunya, sasaran membawa filem ke persada dunia seperti diimpikan kerajaan dan penerbit berdepan kesukaran, apatah lagi untuk terus berkarya dan mencari kelainan dalam pembikinan filem memerlukan kos tinggi.

Lebih membebankan, duti hiburan jualan tiket dikenakan ke atas filem ditayangkan di pawagam melambung sehingga 25 peratus, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara tertinggi di Asia mengenai cukai hiburan.

Isu pengurangan duti hiburan kerap dilaungkan sejak dahulu, namun tiada sebarang tindakan sehingga industri perfileman tempatan bagaikan telur di hujung tanduk sejak COVID-19 menular, dua tahun lalu.

Namun, isu duti hiburan kembali hangat diperkatakan apabila penerbit, pengarah dan pelakon, Mawi bersuara menerusi Instagram (IG) menjelaskan kutipan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang meraih kutipan melebihi RM12 juta ketika itu belum membawa pulangan modal berikutan kos penerbitan filem arahan Syamsul Yusof itu menelan belanja RM8 juta.

Dalam hantaran sama, Mawi memberitahu, ini berikutan filem ditayangkan di pawagam dikenakan cukai hiburan 25 peratus dan perkongsian itu menarik perhatian penggiat seni.

Susulan itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil bersuara menerusi aplikasi TikTok mengemukakan tiga cadangan bagi membantu industri perfileman terus bernafas.

Cadangan dikemukakan ahli politik menerusi video berdurasi 1.22 minit itu memohon kerajaan memotong duti hiburan bagi membantu menyemarakkan industri perfileman yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Selain itu, Syed Saddiq mencadangkan agar duit hiburan wajib disalurkan semula kepada tabung industri seni negara dan memohon kebajikan kru dijaga serta mendapat hak sama berikutan penerbit lebih memberi perhatian kepada bintang filem.

Berterima kasih dengan cadangan Syed Saddiq, Mawi berpendapat mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan mengurangkan duti hiburan daripada 25 kepada 15 peratus.

Mawi berkata, jika duit hiburan dikurangkan, ia akan menunjukkan kerajaan mendengar rintihan pembikin filem yang sekian lama berhadapan cukai yang tinggi.

"Sudah lama pembikin filem mengharapkan duti hiburan dikurangkan, bukan mahu dimansuhkan terus. Mungkin paling maksimum sebanyak 15 peratus.

"Dahulu, ada cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus, jadi sebanyak 31 peratus dipotong, memang penerbit dahulu lebih terasa.

"Jadi mungkin kerajaan boleh mengurangkan sedikit. Kemudian, pihak pawagam boleh mempertimbangkan, pembahagian antara penerbit dan pengusaha pawagam kekal 50/50 sehingga tamat tayangan.

"Kerana mengikut perjanjian, pembahagian untuk minggu seterusnya bertambah bagi pihak pawagam. Minggu seterusnya pawagam ambil lebih 50 peratus," katanya kepada BH Online.

Mawi berpendapat, kerajaan boleh mempertimbangkan mengurangkan duti hiburan daripada 25 kepada 15 peratus.
Mawi berpendapat, kerajaan boleh mempertimbangkan mengurangkan duti hiburan daripada 25 kepada 15 peratus.

Untuk merealisasikan perkara itu, Mawi berkata kerajaan, pawagam dan penerbit boleh berbincang mencapai kata sepakat yang memberi keuntungan kepada semua pihak.

"Perkara ini boleh diselesaikan dengan perbincangan. Kita sebenarnya tidak perlu mencari salah mana-mana pihak.

"Lebih baik, duduk berbincang mengenai luahan hati pembikin filem di Malaysia. Namun, kebanyakan penerbit takut mahu bersuara.

"Saya harap adanya perbincangan yang akan memberikan manfaat kepada semua pihak. Cukai kerajaan tetap kena bayar sebab itu tanda kita menyokong kerajaan. Kerajaan juga memerlukan duit.

"Pawagam juga satu perniagaan. Mereka mahu menerima keuntungan dan dalam hal ini, penerbit juga sama mahukan bahagian keuntungan. Jadi, berbincang agar kerajaan, pengusaha pawagam dan penerbit berpuas hati," katanya.

Kata Mawi, dia bukan bermaksud menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu mendidik orang ramai mengenai perniagaan filem.

"Perkara yang didedahkan adalah fakta perniagaan sebagai penerbit filem.

"Itu yang saya mahu kongsi dan mendidik masyarakat mengenai perniagaan filem. Jadi, apabila dengar kutipan RM10 juta, bukan semuanya milik penerbit, ada pembahagian.

"Apabila membuat pengumuman kutipan filem mencecah RM1 juta, ia bukan jumlah sebenar diterima penerbit. Daripada nilai kutipan diumumkan, akan ditolak duti hiburan dan bahagian kepada pawagam," katanya.