BERITA ABPBH

Dua tahun Erwin 'sangkut' di Singapura

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pelakon Erwin Dawson, 32, lega dapat bekerja semula selepas hampir dua tahun 'tersangkut' di kampung halaman di Singapura.

Erwin berkata, dia tidak sabar menjalani penggambaran drama Bunga Hati terbitan Zeel Productions selaku teraju utama.

"Perasaan gembira sukar untuk digambarkan. Selepas hampir dua tahun 'sangkut' di Singapura akhirnya saya kembali ke Malaysia. Bagi saya, Malaysia tetap dekat di hati dan rumah kedua.

"Saya sangat rindu, apatah lagi, sebahagian hidup di Kuala Lumpur. Saya baru sahaja tiba sejak beberapa hari lalu.

"Saya juga sudah mendapatkan dos vaksinasi lengkap dan bersedia kembali bekerja," katanya kepada BH Online.

Erwin melakukan pelbagai kerja, termasuk penghantar makanan di Singapura bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup. - Foto IG Erwin Dawson
Erwin melakukan pelbagai kerja, termasuk penghantar makanan di Singapura bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup. - Foto IG Erwin Dawson

Erwin atau nama sebenarnya, Mohamed Erwin Shah Evan Dawson berkata, drama Bunga Hati, adaptasi novel karya Liza Ali arahan Jamal Khan akan memulakan penggambaran di Perlis, tidak lama lagi.

"Kami sudah lengkap dua dos vaksinasi dan bersedia untuk memulakan penggambaran. Selebihnya, kita hanya berserah, namun, kenalah jaga prosedur operasi standard (SOP), penjarakan fizikal dan sebagainya.

"Namun, ada kala jika menjaga sebaik pun, jika hendak berlaku tetap juga kena jangkitan. Semoga seluruh produksi dijauhkan daripada jangkitan COVID-19," katanya.

Selain Erwin, drama Bunga Hati turut dibintangi oleh Redza Rosli dan Intan Najuwa.

Katanya, dia memilih untuk pulang ke Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tahun lalu.

"Sejak itu, saya pelbagai pekerjaan yang boleh memberi manfaat kepadanya.

"Saya tidak kisah bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup," katanya.