BERITA ABPBH

'Dolla pantang diancam'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Dikecam netizen sampai tahap 'nyawa' salah seorang anggota diancam antara pengalaman ngeri pernah dilalui kumpulan yang kini kian terbang tinggi, Dolla pada awal kemunculan dalam dunia persada seni suara, dua tahun lalu.

Semuanya gara-gara suara sumbang yang tidak berpuas hati dan menganggap kumpulan yang mencipta nama menerusi single Make You Wanna itu meniru kumpulan K-Pop terkenal dunia, Blackpink.

Namun, secara perlahan-lahan, Dolla dianggotai Syasya, Sabronzo, Angel dan Tabby berjaya mengikis stigma negatif dengan membuktikan mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa menumpang populariti dan nama kumpulan wanita yang berasal dari Korea Selatan itu.

Sabronzo berkata, pengalaman itu juga mendorong Dolla untuk menjadi lebih kuat dan bersemangat dalam menentang segala bentuk penindasan yang dihadapi dalam media sosial.

"Namun, persepsi buruk akhirnya lebur begitu sahaja apabila Dolla dapat membuktikan bakat yang dipertaruhkan. Malah, Dolla memilih mengetengahkan karya ke arah memperkasakan wanita.

"Ia menjadi matlamat Dolla mahu membuktikan wanita adalah kaum berani.

"Dolla sedar kebanyakan kaum wanita takut membuat perubahan atau keluar daripada kepompong kehidupan hanya kerana kata-kata negatif yang dilemparkan.

"Justeru, menerusi single terbaharu berjudul Berani, Dolla menyampaikan mesej, kaum wanita tidak perlu takut dengan persepsi negatif atau kecaman yang boleh melunturkan semangat.

"Jika rasa apa yang dilakukan betul dan terbaik, teruskan sahaja," kata Sabronzo kepada BH Online.

Dalam perkembangan lain, Sabronzo atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli turut memaklumkan perjuangan mereka selari dengan misi kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital, Spotify yang dijayakan.

EQUAL adalah program peringkat global anjuran Spotify yang mahu menjalinkan kesamaan wanita melalui muzik dan memperjuangkan keadilan dan hak dengan memaparkan artis wanita dari seluruh dunia.

Sebagai mangsa buli siber, Syasya mengakui, sokongan diterima memberi lebih keyakinan untuknya berdepan golongan pembenci dalam alam maya.

"Walaupun pernah tertekan dengan kecaman netizen, tetapi saya bersyukur anggota Dolla memberi sokongan tidak berbelah-bahagi apabila sering memberikan kata semangat.

"Dalam lirik single Berani yang dinyanyikan berbunyi 'aku tak perlukan kamu, coz i got my girls'. Lirik ini sudah cukup menggambarkan saya bertuah dikelilingi rakan yang menyokong hingga tidak gentar berdepan dengan golongan bersikap biadap dalam media sosial," luahnya sambil dipersetujui anggota lain.

Single Berani ciptaan John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu bukan sekadar memperjuangkan semangat 'feminisme', malah boleh menjadi penawar kepada sesiapa sahaja yang bergelut dengan masalah berkaitan dengan kehidupan.

"Single Berani bukan sahaja boleh dijadikan pembakar semangat, tetapi menjadi inspirasi untuk Dolla kuat dalam menghadapi cabaran terutama berdepan dengan situasi getir pada era COVID-19.

"Malah, single Berani mampu menjadi penawar kepada kekecewaan akibat putus cinta," ungkap Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal.

Dolla berjaya mengikis stigma negatif dengan membuktikan kemampuan berdiri atas kaki sendiri tanpa menumpang populariti kumpulan K-Pop terkenal dunia, Blackpink. - Foto IG Dolla
Dolla berjaya mengikis stigma negatif dengan membuktikan kemampuan berdiri atas kaki sendiri tanpa menumpang populariti kumpulan K-Pop terkenal dunia, Blackpink. - Foto IG Dolla

Baru-baru ini, wajah Dolla dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) menerusi kempen EQUAL dijayakan.

Ditanya apakah Dolla bersedia untuk terbang lebih jauh, apatah kini semakin dikenali, Tabby berkata, ia menjadi sebahagian daripada cita-cita mereka.

Bagaimanapun, katanya, Dolla lebih bersikap realistik kerana keutamaan kini untuk mendekati peminat di tanah air selepas sekian lama terkurung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kami mahu menghiburkan peminat di Malaysia kerana belum berpeluang bertemu berikutan PKP.

"Jika ada rezeki, kami mahu menumpukan sekitar Asia Tenggara terlebih dahulu, sebelum pergi lebih jauh.

"Untuk mencipta nama di luar negara, Dolla lebih selesa menjadi diri sendiri. Bakat adalah perkara utama yang dipertaruhkan, bukannya penampilan seksi semata-mata," kata Tabby.

Sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Dolla turut membolosi calon awal bagi dua kategori, Artis Baharu Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Berkongsi perasaan, Syasya menyifatkan pencalonan itu sebagai satu pengiktirafan yang cukup besar buat Dolla yang masih hijau dalam bidang seni.

"Menembusi calon awal bersaing dengan nama-nama besar dalam industri muzik sudah cukup membuatkan Dolla bersyukur. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur, BH kerana mencalonkan kami.

"Peminat yang menjadi tulang belakang paling teruja dan banyak mengatur strategi bagi memastikan Dolla menang," cerita Syasya.

Membesar dengan anugerah berprestij ini, Dolla berpendapat, ABPBH memainkan peranan besar dalam perkembangan kerjaya seseorang selebriti.

"ABPBH adalah platform terbaik untuk perkembangan kerjaya seseorang selebriti terutama artis baharu. Kejayaan dan populariti boleh dijadikan ukuran di situ.

"Dolla rasa bertuah, berpeluang membuat persembahan di pentas ABPBH, tahun lalu. Tidak ramai berpeluang dan ini satu penghargaan buat pendatang baharu seperti Dolla," ujar Dolla.

Ditubuhkan pada 2019, nama Dolla meniti di bibir peminat menerusi single Make You Wanna, diikuti Impikan atau Watch Me Glow, Raya Raya Raya dan terbaharu, Berani.

Bakat lakonan Dolla teruji menerusi telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar menemui penonton pada Mei lalu.