BERITA ABPBH

Dolla janji sebar mesej positif bersama ABPBH 34

[email protected]

KUALA LUMPUR: Calon awal kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Dolla percaya tema #KITABERSAMA sangat sesuai dengan usaha rakyat Malaysia memerangi pandemik COVID-19.

Dolla yang dianggotai empat gadis iaitu Sabrina, Tabby, Angel dan Syasya ini optimis tema diangkat ABPBH 34 dapat memberi impak positif kepada pengikut setia acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

Mewakili teman-teman, Sabrina berkata, Dolla mahu bersama ABPBH 34 dalam menyebarkan mesej positif sepanjang kempen acara anugerah ini.

"Sekarang ini, pastinya semua orang, bukan saja Dolla mahukan negara kita mencapai imunisasi kelompok secepat mungkin.

"Mengambil suntikan vaksin COVID-19 adalah salah satu langkah untuk kita semua mencapai matlamat itu.

"Kita semua mahu kembali kepada rutin normal selepas ramai orang membuat pengorbanan besar.

"Jadi, kami sangat berharap kita bersama dapat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar semuanya bertambah baik, tidak lama lagi.

"Semoga kita tidak akan kembali menjalani 'lockdown' pada masa hadapan. Terima kasih kepada ABPBH 34 kerana mengingatkan kita untuk terus kekal bersama," katanya kepada BH Online.

Ditubuhkan pada April 2019, Dolla terus kukuh membina empayar seni apabila dicalonkan dalam dua kategori pada ABPBH 34.

Penghasilan single pertama Dolla, Make You Wanna membolehkan Dolla terpilih sebagai calon awal bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular ABPBH 34. - Foto IG Dolla
Penghasilan single pertama Dolla, Make You Wanna membolehkan Dolla terpilih sebagai calon awal bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular ABPBH 34. - Foto IG Dolla

Berkongsi mengenai pencalonan itu, Sabrina berkata, mereka tidak pernah menyangka dapat menembusi pencalonan ABPBH 34 sehingga dua kategori.

"Tahun lalu, kami diberi peluang untuk membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 33. Tahun ini, kami diberi penghargaan untuk bersaing sebagai calon awal.

"Ketika membuat persembahan tahun lalu, kami ada bercakap mengenai pencalonan. Alhamdulillah, tahun ini kami berjaya sehingga dicalonkan dalam dua kategori.

"Jadi dalam terkejut, kami bersyukur atas penghargaan ini," katanya.

Penghasilan single pertama Dolla, Make You Wanna membolehkan Dolla terpilih sebagai calon awal ABPBH 34.

"Single pertama memainkan peranan penting dalam kerjaya. Kami gembira dengan impak yang diterima terhadap lagu ini.

"Bagaimanapun, kami tidak meletakkan harapan tinggi untuk mara ke Top 5 atau membawa pulang trofi. Sudah dicalonkan cukup membuatkan kami gembira," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dolla akan tampil dengan single terbaharu berjudul Berani, akhir bulan ini. Mesej yang diketengahkan dalam Berani juga boleh dikaitkan dengan keadaan semasa.