Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

'Doakan saya...'

01 Oct 2019 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga tahun mencipta nama dalam bidang muzik, Haqiem Rusli tidak sunyi daripada cerita hangat dan kontroversi. Pada usia yang masih muda, tak kurang dugaan yang harus ditempuhinya dalam mengejar impian sebagai penyanyi dan pencipta lagu disegani.

Tahun lalu, antara detik paling mencabar buat pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli, 21, ini apabila dituduh mencetuskan gimik mengalami kemurungan dan mahu meninggalkan dunia seni. Tidak lama kemudian, anak muda berbakat besar ini muncul bersama single, Selamat Tinggal Sayang.

Biar apa pun tanggapan diberikan terhadapnya, yang pasti, bukan cerita panas sahaja yang memperkenalkan lagi nama Haqiem kepada peminat. Dia turut berbekalkan beberapa lagu yang mendapat tempat dalam kalangan penggemar muzik. Lebih bermakna, penyanyi ini juga semakin kuat mendapat sokongan daripada peminat setianya yang menggelarkan diri mereka, Qiemilio.

Justeru, tidak menghairankan apabila artis naungan syarikat FMC ini menjadi pilihan peminat untuk mengungguli kategori online Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom. Pendek kata, Haqiem membuktikan, bersama kisah yang memanaskan namanya dalam industri seni, dia juga mampu tampil bersama karya berkualiti yang memikat hati.

Jika menerusi kategori Artis Sensasi Popular dia mengetepikan saingan Zul Ariffin, Elfira Loy, Bella Dally dan Nazim Othman, dalam kategori Lagu Paling Boom pula, Selamat Tinggal Sayang nyanyiannya membenamkan harapan dendangan artis popular lain iaitu Di Matamu (Sufian Suhaimi), Satu Peluang (Andi Bernadee), Hatiku Milikmu (Siti Nordiana) dan Rahsia Kita (duet Khai Bahar dan Fatin Husna).

Kontroversi kemurungan yang mencetuskan perdebatan ramai memang cukup besar buat Haqiem, hingga dia sendiri mengakui bagai jatuh terduduk.

Begitupun, anak muda ini tidak membiarkan ia memusnahkan dirinya, sebaliknya bangkit bersama Selamat Tinggal Sayang yang mengukuhkan lagi kedudukannya di persada muzik tanah air.

“Dua trofi ini adalah kemenangan sulung saya pada ABPBH. Saya cukup terharu kerana peminat masih teguh berdiri di belakang dan menyokong bakat dianugerahkan Tuhan ini.

“Sebagai anak muda, saya harap kemenangan ini terus menjadi ruang untuk berkarya, sekali gus menyemarakkan industri muzik. Ia menyuntik semangat saya untuk terus menghasilkan karya terbaik pada masa mendatang.

“Saya juga enggan terus larut dalam kontroversi yang melanda diri ini, tahun lalu. Sebaliknya, saya akan mengambil apa juga yang positif daripada semua yang ada di depan mata, selain mengetepikan perkara negatif,” katanya kepada BH Online.

Akui Haqiem, pada mulanya ada yang teragak-agak untuk mengundi dirinya pada anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.

“Namun, saya percaya masih ramai peminat yang menghargai bakat seni dan karya saya. Kita ambil yang jernih, buang yang keruh,” katanya.

Tegas artis yang dilahirkan di Hulu Langat, Selangor ini, segala pengalaman ditempuh pada tahun lalu menjadi pengajaran terbesar untuknya.

“Di sebalik semua yang berlaku, tetap ada kemanisan dan rahmat pada tahun ini. Lagu Jatuh Bangun ciptaan saya sendiri menjadi simbolik di sebalik fasa yang saya lalui.

“Apa yang terjadi sudah tertulis dan bersebab. Ia ujian untuk saya menjadi lebih matang dan berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk. Ia juga cerminan untuk saya memperbetulkan yang mana salah. Sebagai manusia, kita tidak sempurna, namun boleh berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri,” katanya.

Ujar Haqiem, dia tentunya trauma dengan pengalaman tahun lalu.

“Cuma, yang lepas itu biarlah berlalu. Saya rasa pada 2019, nama saya kembali okay tanpa ada isu besar atau cerita negatif. Sebagai manusia biasa, saya cuba untuk menjaga aib dan nama baik sendiri serta keluarga... Doakan saya,” katanya.

Ditanya mengenai kebangkitannya menewaskan calon lebih senior, penyanyi ini tidak mampu memberikan reaksi atau jawapan tepat.

“Jujur, memang saya tak tahu hendak memberikan reaksi atau jawapan kepada soalan bagaimana saya mampu menewaskan calon senior serta popular lain? Apa yang saya tahu, semua ini takkan saya raih tanpa peminat (Qiemilio). Merekalah yang bersungguh-sungguh mengundi saya, berkorban masa dan tenaga. Dari siang ke malam mereka mengundi. Jadi, semua ini adalah berkat usaha mereka.

“Cuma, saya anggap diri ini bertuah kerana terus disayangi peminat. Ia juga rezeki daripada Allah SWT. Tak terlintas langsung untuk saya berlawan dengan calon senior lebih sensasi seperti Zul dan Nazim.

“Dalam kategori lagu pula, saya tetap percaya setiap karya ada keunikannya sendiri. Jika ditanya kepada saya, mengikut pasaran semasa, Di Matamu layak menang kerana ia mencipta fenomena dan tular,” tuturnya.

Haqiem juga berkata, dia memang tidak menjangka akan pulang dengan dua trofi ABPBH 32.

“Saya sangat terharu apabila ada peminat yang mengangkat saya ke tahap ini. Kemenangan ini ditujukan khas untuk mereka. Kejayaan ini juga diharap menjadi pendorong untuk artis muda atau ‘budak baru nak up’ (BBNU) terus mencipta jaya,” katanya.

Menang dua daripada tiga kategori mencalonkan namanya, Haqiem bagaimanapun akur dengan kekuatan Khai Bahar yang unggul dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, sekali gus melakukan hatrik.

“Ramalan saya tepat kerana Khai memang antara calon paling kuat dalam kategori itu. Melihat pada pencapaiannya memenangi kategori itu selama dua kali berturut-turut, tidak dinafikan pengaruhnya cukup kuat,” katanya.