Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Dari pesantren, anak bekas vokalis ST12 bergelar penyanyi

29 Jan 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Membesar dalam keluarga berdarah seni bukan laluan mudah buat penyanyi Restu Van Houten, 17, membina nama dan populariti dalam industri muzik.

Hakikatnya, Restu adalah anak sulung kepada bekas vokalis ST12, Charly Van Houten dan Shinta Regina selesa berdikari tanpa bergantung kepada populariti bapanya kerana itu memberikan lebih kepuasan.

Restu atau nama lengkapnya, Mohammad Restu Gibran Van Houten berkata, dia sering melihat bapanya menyanyi dan berkarya, malah kerap menemani vokalis Setia Band itu ke konsert sejak kecil.

"Membesar dalam keluarga pemuzik membuatkan darah seni turut mengalir dalam diri saya. Namun, bapa tidak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya.

"Cuma, saya membuat pilihan untuk bergerak sebagai pemuzik secara profesional. Ia pilihan sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa," katanya kepada BH Online.

Restu berkata, meskipun tidak dibimbing secara berterusan, bapanya sentiasa mendokong usaha yang dilakukan.

Malah, untuk single perdananya, Saranghaeyo yang diperkenalkan pada 25 Mac 2022, bapanya turut bertindak sebagai penerbit di samping KGS M Ipul.

"Bapa pendukung terbesar saya. Dia sering menitipkan pesan supaya saya fokus dan terus berkarya, meskipun perjalanan saya berdepan dugaan serta rintangan.

"Secara jujur, karya bapa banyak mempengaruhi saya. Ini kerana sejak kecil, saya sudah 'didoktrin' dengan muzik yang dibawanya bersama ST12 dan Setia Band.

"Namun, saya juga memiliki kecenderungan dan rujukan muzik tersendiri. Itu yang cuba saya gabungkan dalam karya yang dihasilkan," katanya yang memperkenalkan single kedua, Jangan Ada Kata Pisah pada November lalu.

Bernaung di bawah label berpengaruh, Trinity Optima, Restu berkata, dia hanya mencuba nasib apabila mengajukan karya yang dihasilkannya kepada syarikat rakaman.

"Alhamdulillah, ia diterima, biarpun terpaksa menunggu agak lama. Hampir setahun saya menanti sebelum mendapat respon syarikat rakaman.

"Bersama mereka, saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan membentuk identiti muzik Restu Van Houten sendiri tanpa dipengaruhi penyanyi sedia ada," katanya.

Bercerita mengenai sisi peribadinya, anak sulung daripada dua beradik itu mengakui, dia agak pemalu dan suka menyendiri sejak kecil. Sifat itu berlanjutan sehingga memasuki sekolah rendah.

Katanya, meskipun meminati muzik, namun bakatnya tidak ke arah itu, sebaliknya, lebih aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak, renang dan badminton.

"Apabila memasuki sekolah menengah, saya memutuskan untuk ke pesantren Darussalam. Di situ, saya belajar ilmu agama dan mengenal erti kehidupan.

"Malah, di situ saya juga hasrat untuk bermain muzik. Saya mula menghasilkan lagu, belajar hal-hal berkaitan rakaman sehingga saya memasuki sekolah tinggi.

"Saya seterusnya mengambil keputusan pulang ke Bandung kerana situasi tidak kondusif disebabkan era pandemik COVID-19. Saya cuba buat lagu dan akhirnya terhasil Saranghaeyo.

"Apabila diajukan kepada Trinity Optima, Alhamdulillah diterima," katanya.

Menyifatkan muzik sebagai wadah berkarya, Restu bersyukur sokongan keluarga membuatkannya yakin meneruskan langkah sebagai anak seni. - Foto IG Restu Van Houten
Menyifatkan muzik sebagai wadah berkarya, Restu bersyukur sokongan keluarga membuatkannya yakin meneruskan langkah sebagai anak seni. - Foto IG Restu Van Houten

Menyifatkan muzik sebagai wadah berkarya, Restu berkata, sokongan keluarga membuatkannya semakin yakin meneruskan langkah sebagai anak seni.

Akuinya, sebagai anak kepada Charly, dia bersyukur diberikan kemudahan dan kelancaran menentukan arah serta haluannya sebagai pemuzik.

Situasi itu, bagaimanapun kata Restu, ada ketika membuatkan dia sedikit terbeban.

"Saya tidak lari daripada dibayangi bapa. Itu fakta kerana Charly adalah bapa saya. Apa yang mampu saya lakukan adalah buktikan kemampuan dan berdiri atas kekuatan bakat sendiri.

"Saya yakin dengan bakat yang ada. Alhamdulillah, awal perjalanan saya bermula mulus, tetapi itu belum membuatkan saya puas dengan apa yang dicapai.

"Saya mahu memberikan lebih lagi dan menghasilkan karya yang bagus untuk mengangkat nama Restu Van Houten pada posisi lebih aman," katanya.

Pada usia pembabitan yang masih setahun jagung, Restu bertuah apabila diberi penghormatan beraksi dalam Konsert ST12 Reunion - 20 Tahun Charly Berkarya yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac depan.

Bakal beraksi bersama Firman Siagian dan dua penyanyi terkenal Malaysia, Jaclyn Victor serta Ezad Lazim, konsert itu menjadi titik permulaan untuk Restu memperkenalkan bakatnya kepada peminat muzik di negara ini.

"Saya berharap karya saya dapat dinikmati dan diterima penggemar muzik di Malaysia. Ia ruang terbaik untuk saya membuktikan bakat.

"Sebagai penyanyi baharu, saya terpacu dan bersemangat memberikan karya terbaik untuk dinikmati pencinta muzik di dalam dan luar Indonesia.

"Bapa sering bilang, saya harus menjadi anak lelaki bertanggungjawab dan fokus dalam apa yang saya usahakan. Itu akan saya buktikan pada konsert ini nanti," katanya.

Tiket Konsert ST12 Reunion - 20 Tahun Charly Berkarya berharga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh diperoleh menerusi laman web, www.ticket2u.com.my.