Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Daiyan beraya di banglo baharu

22 Apr 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, 29, teruja menyambut Lebaran di kediaman baharu yang dibeli hasil titik peluh dalam dunia seni.

Daiyan berkata, keluarganya gembira dia beroleh rezeki memiliki banglo dua tingkat di sebuah lokasi di pinggir ibu kota.

"Ketika berpuasa, saya sibuk berpindah. Alhamdulillah, dapatlah beraya di rumah baharu. Kediaman ini tidaklah lengkap, namun, ada ruang untuk saya dan keluarga meraikan Syawal bersama.

Daiyan bersyukur dikurniakan rezeki untuk menyambut Aidilfitri di kediaman baharu. Foto IG Daiyan Trisha
Daiyan bersyukur dikurniakan rezeki untuk menyambut Aidilfitri di kediaman baharu. Foto IG Daiyan Trisha

"Semua anggota keluarga teruja untuk berkumpul di rumah baharu saya. Ayah berasal dari Kuala Lumpur, jadi, selepas beraya di rumah saya, barulah kami pulang ke kampung halaman di Kuantan, Pahang," katanya kepada BH Online.

Ogos tahun lalu, Daiyan berkongsi di Instagram (IG) mengenai pembelian kediaman bertanah mewah melalui beberapa foto dan video.

Pada 2019, Daiyan dilaporkan memiliki rumah pertama iaitu kondominium selepas mengumpul wang selama dua tahun.

Berkongsi lanjut mengenai sambutan Lebaran, anak kedua dari lima beradik ini bersemangat pulang ke kampung bertemu datuk, nenek dan saudara-mara.

Masih solo, Daiyan tidak kisah jika diajukan soalan mengenai perkahwinan.

"Jika ditanya mengenai kahwin, saya akan jawab, majlis berlangsung Sabtu atau Ahad. Lagipun, saya ada impian bernikah di Makkah, jadi kalau berkahwin, pastinya jatuh pada Sabtu atau Ahad... Doakanlah.

"Apabila tengok Kaabah, saya jatuh hati. Jadi, saya mahu bernikah di depan kaabah. Kita tidak tahu rezeki. Kalau betul saya dapat bernikah di Tanah Suci, saya sangat bersyukur.

"Impian itu tercetus selepas saya mengunjungi Tanah Suci, tahun lalu. Ibu bapa saya pun setuju, kalau ada rezeki, mengapa tidak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Daiyan akan tampil dengan filem baharu berjudul Sumpahan Jerunai.

Filem arahan Jason Chong itu turut dibintangi Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Naswip, Ruminah Sidek, Amerul Affendi dan Tony Eusoff,

Filem genre seram Sumpahan Jerunai itu memaparkan kisah benar mengenai sejarah kaum Melanau berkaitan adat pengebumian golongan Bangsawan pada zaman sebelum pemerintahan Rajah Putih Sarawak.