BERITA ABPBH

Dah boleh urus diri, Ben Nathan gigih berlatih menyanyi

[email protected]

KUALA LUMPUR: Hampir setahun tertangguh pembikinannya, penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan, 60, bakal muncul dengan single baharu, bulan depan.

Single yang sudah disiapkan sepenuhnya kini dalam proses penggambaran video muzik, sebelum dilancarkan.

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave memaklumkan, pihaknya menerima dana berjumlah RM20,000 daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) bagi tujuan majlis pelancaran single berkenaan.

"Kami menerima kelulusan dana, tahun lalu. Namun, kami terpaksa menangguhkannya atas faktor pandemik COVID-19 dan kesihatan Ben.

"Namun, kami tetap akan meneruskan majlis pelancaran lagu ini, bulan depan," katanya DJ Dave dalam satu kenyataan.

Bagi memastikan acara berjalan lancar, DJ Dave yang sebelum ini membawa Ben keluar daripada kehidupan gelandangan dan mengubah penyanyi bersuara lunak untuk kembali normal dengan membuat persediaan daripada segi imej yang bakal ditonjolkan sempena kemunculan single berkenaan.

"Kami membawa Ben membeli-belah untuk pakaian baharu bagi tujuan rakaman video muzik.

"Saya amat gembira melihat Ben yang kini tampak lebih tampan dan sihat," ujar penyanyi Ingin Bersua ini.

DJ Dave bawa Ben membeli-belah untuk pakaian baharu bagi tujuan rakaman video muzik single baharu yang bakal menemui pendengar bulan depan. - Foto Ihsan YKAT
DJ Dave bawa Ben membeli-belah untuk pakaian baharu bagi tujuan rakaman video muzik single baharu yang bakal menemui pendengar bulan depan. - Foto Ihsan YKAT

Sementara itu, menerusi adiknya, Bob, penyanyi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu turut meluahkan kerinduan mahu kembali menyanyi di hadapan khalayak. Malah, Ben berharap masih ada peminat merindui kehadirannya di persada seni suara.

"Saya nampak abang gigih berlatih bernyanyi dan tidak sabar bertemu peminat. Sebagai adik, saya sentiasa berharap moga Ben kekal dengan semangat itu.

"Saya mendoakan dengan kehadiran single pelancaran video muzik itu nanti masyarakat akan dapat menerima Ben kembali di dalam industri muzik," ungkapnya.

Pelancaran single baharu itu bagi membuka ruang untuk menjana pendapatan memandangkan kos perbelanjaan Ben yang kini menetap di sebuah rumah jagaan di Petaling Jaya ditanggung oleh Bob.

Difahamkan, ibu Ben juga kurang sihat, jadi Bob menggalas tanggungjawab menanggung perbelanjaan perubatan ibu.

Sementara itu, berkongsi keadaan kesihatan abangnya, Bob berkata, Ben kini sudah boleh menguruskan dirinya sendiri berbanding sebelum ini.

"Saya sering melawat Ben di rumah jagaan ini bagi memastikan keadaannya sentiasa terurus. Dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

"Makan, minum dan penjagaan diri dikawal oleh pihak pengurusan rumah jagaan itu. Saya dapat lihat perubahannya, Ben sudah boleh menjaga diri sendiri," cerita Bob.

Pada 2017, kisah Ben menjadi tular selepas rakaman video dalam keadaan tidak terurus dimuat naik beberapa individu di laman YouTube.

Hasil pujukan DJ Dave, penyanyi itu bersetuju menjalani rawatan kesihatan mental di hospital dan semakin pulih.