Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

'Cikgu' Idayu jadi pakar rujuk

06 Oct 2019 | Hanisah Selamat

KUALA LUMPUR: Selain bergelar guru vokal, tidak ramai yang tahu penyanyi Idayu menjadi pengajar ‘vocal style’ atau gaya suara, sejak dua tahun lalu.

Idayu berkata, sudah ramai teman seangkatan menggunakan khidmatnya dalam memantapkan persembahan suara terutama ketika proses rakaman lagu.

“Saya sudah lama mengajar ‘vocal style’ iaitu cara bagaimana kita mahu membawa sesuatu lagu mengikut kehendaknya.

“Sebelum ini, saya pernah viral dengan ‘mimic style’ tetapi saya kongsi semua itu ada tujuan... Ini adalah antara satu daripadanya.

“Apabila sudah biasa dan kerap berlatih, saya semakin arif dengan suara orang lain. Jadi, senang untuk kita terapkan perkara sama kepada pelajar kita,” katanya kepada BH Online.

Idayu berkata, lazimnya, penyanyi yang buntu mendendangkan lagu mengikut ‘cerita’ dan ‘rasa’ yang perlu diterjemahkan, akan merujuk kepadanya.

“Kebiasaannya, penyanyi yang buntu tidak tahu hendak ‘membawa’ lagu akan mendapatkan khidmat saya dalam studio rakaman,” katanya.

Tambah Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob, 34, penyanyi juga sering meminta bantuan penggubah muzik untuk mencari kesesuaian ‘vocal style’.

“Tidak ramai penata suara profesional di negara ini. Setakat ini, antara komposer yang arif dengan ‘vocal style’ adalah Allahyarham Adnan Abu Hassan.

“Ada juga pelakon yang mahu menjadi penyanyi mendapatkan khidmat saya,” katanya yang menaruh keyakinan tinggi terhadap cabang ini.

Terbaru, Idayu dipertanggungjawabkan mempromosikan lagu Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 berjudul Visit Truly Asia Malaysia dalam dua versi.